LONDON: Britain menjadi negara pertama memperkenalkan undang-undang terhadap alat kecerdasan buatan (AI) yang digunakan untuk menghasil imej penderaan seksual.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Yvette Cooper berkata, kerajaan akan melarang pemilikan, mencipta atau mengedar alat AI yang direka untuk menghasilkan imej seksual kanak-kanak.
Dalam pengumuman yang dibuat kelmarin, beliau menegaskan hukuman penjara sehingga lima tahun boleh dikenakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang tersebut.
Ia turut merangkumi kesalahan memiliki ‘manual pedofilia’ berasaskan AI, yang mengajar individu cara menggunakan teknologi itu untuk melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak, dengan hukuman penjara sehingga tiga tahun.
“Kita tahu bahawa aktiviti pemangsa sakit jiwa dalam talian sering membawa kepada penderaan fizikal yang paling mengerikan.
“Undang-undang baharu ini dirangka untuk memastikan keselamatan kanak-kanak di dalam talian, seiring dengan perkembangan teknologi.
“Penting untuk kita menangani penderaan seksual kanak-kanak, sama ada dalam talian mahupun di luar,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu akan diperkenalkan sebagai sebahagian daripada Rang Undang-Undang Jenayah dan Kepolisian apabila dibentangkan di Parlimen.
Sebelum ini, Yayasan Pemerhatian Internet (IWF) memberi amaran mengenai peningkatan jumlah imej penderaan seksual kanak-kanak yang dihasilkan menggunakan AI.
Dalam tempoh 30 hari pada 2024, penganalisis IWF mengenal pasti 3,512 imej penderaan kanak-kanak berasaskan AI di satu laman gelap internet.


































