SHAH ALAM: Dua individu yang ditahan susulan kematian empat pengunjung konsert Pinkfish telah didakwa di mahkamah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mereka merupakan antara tiga individu berusia 20 hingga 30-an yang ditahan ekoran kes kejadian kematian itu.
“Mereka dituduh mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
“Kedua-dua suspek telah diberi jamin oleh mahkamah manakala suspek ketiga tiada tuduhan terhadapnya,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Tambah Hussein, kes itu masih dalam siasatan dan belum ada tangkapan terbaharu setakat ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan empat individu tempatan berusia lingkungan 20 hingga 40-an termasuk dua wanita meninggal dunia selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu itu.
Mereka antara tujuh pengunjung yang dimasukkan ke hospital selepas mengalami beberapa simptom sama selepas menghadiri konsert berkenaan.
Pemeriksaan ke atas semua individu berkenaan tidak menemui sebarang kecederaan luaran.
Polis merekodkan keterangan seramai 43 individu termasuk penganjur bagi membantu siasatan dan kes disiasat sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Dalam pada itu, Hussein berkata, polis mempertingkatkan pemantauan dan risikan bagi mengekang aktiviti penyalahgunaan dadah di pusat hiburan dan konsert di negeri ini.
Beliau berkata, pihaknya menempatkan keanggotaan polis bagi mengesan pengedar, penjual dan sebarang elemen dadah di lokasi itu.
“Tindakan itu sentiasa dilaksanakan kita termasuk melakukan tangkapan dan saringan (ujian kencing). Dalam kejadian baru-baru ini (Pinkfish), ia mengakibatkan pengunjung maut. Jadi, polis sentiasa pantau dan meminta penganjur konsert ambil tindakan tertentu dengan perketat kawalan pengunjung yang masuk,” katanya.
Menurut Hussein, polis turut akan menemui pihak berkuasa tempatan (PBT) dan berkomunikasi dengan penganjur konsert dalam masa terdekat bagi perbincangan isu itu.
































