WASHINGTON: Peta Google akan menukar nama ‘Teluk Mexico’ kepada ‘Teluk Amerika’, sebaik sahaja ia dikemas kini secara rasmi dalam Sistem Nama Geografi Amerika Syarikat (AS).
Menurut Utusan Malaysia, syarikat gergasi teknologi, Google menyatakan, perubahan itu hanya akan dapat dilihat di AS, tetapi masih kekal sebagai Teluk Mexico di Mexico.
Di luar AS dan Mexico, pengguna akan melihat kedua-dua nama tersebut pada Peta Google.
Jumaat lalu, Jabatan Dalam Negeri pentadbiran Presiden Donald Trump mengumumkan secara rasmi penukaran nama Teluk Mexico kepada Teluk Amerika dan puncak Alaska Denali, gunung tertinggi di Amerika Utara, kepada Gunung McKinley.
Peta Google, yang dimiliki oleh Google Alphabet, akan membuat perubahan sama dengan Gunung McKinley.
Trump mengarahkan perubahan nama tersebut sebagai sebahagian daripada tindakan eksekutif beberapa jam selepas memegang jawatan pada 20 Januari, memenuhi janji kempennya.
“Seperti yang diarahkan oleh Presiden, Teluk Mexico kini secara rasmi akan dikenali sebagai Teluk Amerika, dan puncak tertinggi di Amerika Utara sekali lagi menggunakan nama Gunung McKinley,” kata Jabatan Dalam Negeri dalam satu kenyataan, minggu lalu.
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum awal bulan ini secara berseloroh mencadangkan Amerika Utara, termasuk AS, dinamakan semula sebagai ‘Amerika Mexico’, nama bersejarah yang digunakan pada peta awal wilayah itu.


































