LOS ANGELES: Preston Martin menganggap van Volkswagen biru retro dihuninya selama setahun semasa berada di kolej sudah hilang kerana diparkir di kawasan kejiranan Malibu sejurus sebelum kebakaran Palisades merebak.
Menurut Utusan Malaysia, kawasan itu berubah sekelip mata menjadi padang jarak padang tekukur, namun pembuat papan luncur itu langsung tidak menyangka apabila mendapati kenderaan itu masih terselamat.
Bukan itu sahaja, gambar bas berkenaan yang diambil oleh jurugambar Associated Press tersebar luas di televisyen dan dalam talian, memberikan harapan baharu dan sedikit keceriaan kepada penduduk yang melihatnya.
“Terdapat keajaiban dalam van itu. Tidak masuk akal mengapa ini berlaku. Ia sepatutnya sudah terbakar, tetapi inilah hakikatnya,” kata Martin, 24.
Martin membeli Volkswagen Type 2 1977 itu sekitar tahun juniornya ketika menyambung pengajian jurusan kejuruteraan mekanikal di University of California, Santa Barbara.
Martin menceritakan, ibunya, Tracey begitu marah kepadanya kerana membazirkan wangnya membeli kenderaan tu.
Tetapi Martin memberitahu ibunya, dia akan menjimatkan sewa dengan membaiki bahagian dalaman van itu dan tinggal di dalam kenderaan tersebut sepanjang tahun akhir pengajiannya.
Dia mula menyukai van tersebut, malah menjahit sendiri langsir untuk tingkapnya.
Musim panas lalu, dia menjual van itu kepada rakan perniagaannya, Megan Krystle Weinraub, 29, yang mereka bentuk luncur air dan papan selaju di bawah jenama Vibrant Boards.
Pada 5 Januari lalu, rakan-rakannya pergi meluncur dengan van tersebut dan Martin meletakkannya di tempat rata di atas bukit dari apartmennya di tepi Getty Villa, kerana Weinraub masih belum mahir memandu transmisi manual.
Dua hari kemudian, kebakaran besar di Pacific Palisades meletus, dan Weinraub melarikan diri bersama anjingnya, Bodi menaiki keretanya.
Wanita itu berasa sedih tidak sempat menyelamatkan van Volkswagen biru itu tetapi merasakan kerugianya masih kecil berbanding mereka yang kehilangan rumah atau orang tersayang.
Pada Khamis lalu, seorang jiran menghantar gambar kepadanya, di latar belakang adalah van itu, masih kekal berwarna biru dan putih dan tidak rosak sama sekali.
“Saya terkejut dan menggigil. Saya berada di dalam bilik mandi dan saya terus menjerit melihatnya,” kata Weinraub.
Weinraub terus menghubungi Martin, yang juga terkejut.
Martin terus memberitahu ibunya, yang turut teruja dengan berita tersebut.
“Saya tidak pernah menangis untuk kereta sebelum ini,” kata Tracey.
Mereka lebih terkejut apabila gambar AP disiarkan di televisyen dan muncul dalam talian.
“Van kami tular dan menjadi tajuk berita.
“Ia sangat menakjubkan sehingga ia menjadi seakan seperti, suar harapan. Semua di sekelilingnya hangus terbakar dan menjadi serpihan debu berasap. Tetapi van berkilat biru terang ini masih elok di sana,” kata Martin dalam halaman Instagramnya.
Weinraub belum dapat melawat Volkswagen biru itu kerana kawasan tersebut masih ditutup kepada orang ramai tetapi kedua-dua pemiliknya teruja kerana keutuhan van itu telah menyentuh begitu ramai orang.


































