LOS ANGELES: Sebuah rumah agam yang bernilai AS$9 juta (RM40.5 juta) masih berdiri teguh, ketika ribuan kediaman termasuk milik selebriti Hollywood terkenal musnah dalam kebakaran hutan di Los Angeles.
Menurut Utusan Malaysia, pemiliknya yang juga bekas eksekutif pengurusan sisa dari Texas, David Steiner mendedahkan tidak menyangka rumah agam itu masih teguh di antara kediaman lain yang musnah terbakar.
“Ia adalah suatu keajaiban yang tidak pernah hilang,” kata Steiner, 64, kepada The New York Post.
Rumah seluas 4,200 kaki persegi itu mempunyai empat bilik tidur yang dibelinya daripada seorang penerbit.
Beliau pada awalnya menyangka akan kehilangan kediaman tiga tingkat itu, apabila kontraktor tempatan berkongsi rakaman video menunjukkan api dan asap menyelebungi banglo dan rumah jirannya.
“(Kontraktor itu) sedang menonton laporan berita dan melihat rumah jiran saya musnah, maka saya menyangka kami akan kehilangan rumah itu.
“Saya kemudian menerima mesej daripada orang ramai bahawa banglo kami ada di dalam berita, yang tertulis rumah terakhir yang berdiri, dan itu membuat saya gembira,” katanya.
Steiner percaya pembinaan kukuh rumahnya, yang direka untuk melindungi daripada gempa bumi, mungkin menyelamatkannya dari kebakaran Palisades.
“Ia dibuat daripada stuko dan batu dengan bumbung kalis api. Cerucuk sedalam 50 kaki ke dalam batuan dasar untuk memastikan kestabilan apabila ombak kuat menghentam tambak laut.
“Saya tidak pernah menyangka dalam sejuta tahun, kebakaran hutan akan merebak sehingga ke Lebuh Raya Pantai Pasifik,” katanya.