Penduduk bergotong-royong menambak pasir untuk mengurangkan kesan hakisan di Kampung Tanjung Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu.
KUALA NERUS: Pemilik banglo bernilai RM600,000 di Kampung Tanjung Batu Rakit di sini, telah diarahkan berpindah sejak empat hari lalu atas faktor keselamatan berikutan fenomena ombak besar yang melanda Terengganu ketika ini.
Menurut Utusan Malaysia, Mohd Yazit Idris, 66, berkata, dia bersama anak, Nur Shahera 32 dan menantunya, Nor Qusairi Noor Rashid, 32 kini bermalam di sebuah rumah inap desa berhampiran banglo tersebut.
“Polis menasihatkan kami sekeluarga agar bermalam di tempat lain kerana risau struktur banglo ini tidak begitu kukuh akibat hakisan yang semakin memburuk.
“Kami akur demi keselamatan nyawa namun pada sebelah siang, akan datang untuk melihat kerja-kerja menambak benteng dilakukan secara bergotong royong oleh orang kampung,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini semalam.
Baru-baru ini, banglo di Kampung Tanjung Batu Rakit itu tular di media sosial akibat hakisan yang semakin meruncing dan mengundang simpati ramai.
Banglo mewah tersebut siap pada tahun 2018 dengan impian Mohd Yazit mahu menghabiskan sisa hidup bersama isterinya, Siti Rashiddah Mohd Yunos.
Namun, isterinya hanya sempat mendiami banglo itu selama setahun sebelum meninggal dunia pada 2019 akibat kanser usus.
Tambahnya, situasi terus bertambah buruk dan dia juga semakin buntu memikirkan kaedah terbaik untuk menyelamatkan banglo itu kerana semua usaha yang dilakukan selama ini masih belum berjaya mengatasi masalah tersebut.
Menurutnya, sejak awal November, dia sudah berusaha dengan pelbagai cara seperti membina benteng dan menambaknya dengan guni pasir untuk mengurangkan hakisan.
“Dua hari lepas, penduduk kampung telah pun bergotong-royong membina benteng yang lebih kuat menggunakan jentera pengorek (excavator).
“Namun semua itu tidak berjaya menahan amukan ombak ganas yang lebih tinggi dari binaan benteng tersebut.
Akibatnya, gazebo saya dan sebahagian struktur lantai tiang telah pun dihanyutkan ombak malam tadi.
“Saya berharap semuanya akan kembali reda selepas fenomena ombak besar ini berakhir dan berharap pihak berkuasa dapat menyegerakan benteng pemecah ombak yang lebih kukuh untuk penyelesaian jangka masa panjang,” katanya.


































