Logo TikTok dipaparkan di pejabat syarikat aplikasi media sosial di Culver City, California.
WASHINGTON: Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meminta Mahkamah Agung untuk menangguhkan pelaksanaan undang-undang yang akan melarang aplikasi TikTok, sehingga pentadbirannya dapat mencari ‘penyelesaian politik’ terhadap isu itu.
Menurut Utusan Malaysia, undang-undang tersebut akan memerlukan pemilik TikTok yang berpangkalan di China, ByteDance, untuk menjual platform itu kepada syarikat AS atau boleh berdepan dengan larangan.
April lalu, Kongres AS mengundi untuk melarang aplikasi itu melainkan ByteDance menjual TikTok menjelang 19 Januari.
TikTok dan pentadbiran Presiden Joe Biden mengemukakan hujah berbeza kepada mahkamah, di mana aplikasi itu meminta undang-undang yang mengharamkannya dibatalkan, sementara kerajaan AS pula menegaskan keperluan keputusan itu untuk menangani ancaman keselamatan negara.’
Mahkamah dijadualkan untuk mendengar perbicaraan kes pada 10 Januari depan.
Sokongan Trump terhadap TikTok kini berbeza daripada 2020, ketika beliau cuba menghalang aplikasi itu di AS dan memaksa penjualannya kepada syarikat Amerika kerana pemilikan oleh firma China.
Ia juga menunjukkan usah besar syarikat itu untuk menjalin hubungan dengan Trump dan pasukannya semasa kempen presiden.
“Presiden Trump tidak mengambil pendirian mengenai merit asas pertikaian ini.
“Sebaliknya, beliau meminta agar mahkamah mempertimbangkan penangguhan tarikh akhir undang-undang pada 19 Januari 2025, sementara ia mempertimbangkan merit kes, dengan itu memberi peluang pentadbiran Presiden akan datang mencari penyelesaian politik,” kata peguam Trump, D. John Sauer.
Sebelum ini, Trump mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Zi Chew, selepas menyatakan sokongan supaya TikTok terus beroperasi di AS buat sementara waktu.
Beliau turut menyatakan kempen presidennya menerima berbilion tontonan di platform media sosial tersebut.
































