Stanis (barisan pertama, duduk, empat dari kanan) merakamkan gambar kenangan bersama dengan semua ahli keluarga PAJAK.
TENOM: Program Hari Keluarga anjuran generasi ‘Papag Ri Aki Jamangki am Aru Kambiton’ (PAJAK) berlangsung meriah hari ini di Pusat Kebudayaan Murut, Tenom.
Program ini bertujuan mengeratkan hubungan persaudaraan antara ahli keluarga yang kini telah mencapai lima susur galur.
Pengerusi Penganjur PAJAK, Stanis Buandi yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah berkata, program ini diadakan bagi memperkukuhkan silaturahim dalam kalangan ahli keluarga besar tersebut.
Pelbagai aktiviti menarik turut diselitkan sepanjang majlis, antaranya persembahan nyanyian, pertandingan sukaneka, dan acara bertukar-tukar hadiah.

Stanis, (tengah) menyempurnakan upacara pemotongan kek bersama dengan wakil dari susur galur PAJAK dan juga ahli jawatankuasa penganjur majlis.
Stanis turut menyatakan harapannya agar lebih ramai ahli keluarga dari keturunan ini menjawat jawatan penting dalam kerajaan dan memberi sumbangan kepada masyarakat.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Bersatu Sabah (PBS), merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.
Majlis berjalan dengan lancar dengan kehadiran seramai 200 orang ahli keluarga.
“Saya berharap agar sebarang perpecahan dalam kalangan keluarga besar ini dapat dielakkan demi mencapai kesepakatan dan kemuafakatan bersama. Yang paling penting, kita harus saling mengenali dan menghargai hubungan persaudaraan, lebih-lebih lagi kerana generasi terdahulu kita sudah tiada,” ujar Stanis.
Hari Keluarga PAJAK ini merupakan kali kedua dianjurkan sejak kali pertama ia diadakan pada tahun 2020 di Beringgis Beach Resort & Spa, Papar.
Program ini melibatkan sebahagian dan kesinambungan daripada ahli keluarga besar dari keturunan Aki Singgon yang telah mengadakan hari keluarga pada tahun 2017.
































