Tonggak tengah Curtis Jones meraikan jaringan gol kedua Liverpool menentang Leicester di Anfield hari ini.
LONDON: Liverpool terus mengukuhkan kedudukan dengan mengekalkan kelebihan tujuh mata di puncak Liga Perdana Inggeris selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Leicester manakala Manchester United tewas 2-0 kepada Wolves.
Menurut Utusan Malaysia, dalam satu lagi perlawanan, Erling Haaland gagal menyempurnakan sepakan penalti memaksa Manchester City sekadar seri 1-1 dengan Everton.
Dalam aksi di Anfield, anak-anak buah Arne Slot dikejutkan dengan jaringan awal pelawat menerusi Jordan Ayew, namun kedudukan itu tidak lama apabila Cody Gakpo bingkas menjaringkan gol penyamaan sebelum selang waktu rehat.
Tonggak tengah England, Curtis Jones meletakkan tuan rumah di depan apabila menjaringkan gol dalam penampilannya kali ke-100 selepas permainan bersambung babak kedua.
Liverpool terus mengukuhkan kedudukan apabila Mohamed Salah melengkapkan jaringan peribadinya ke-19 musim ini untuk memberikan kemenangan ke-11 Reds daripada 13 perlawanan.
“Kami bangkit dengan menyajikan banyak peluang selepas ketinggalan 1-0,” kata Slot.
Sementara itu, United mengalami kekalahan ketiga sekali gus melengkapkan rekod kekalahan kali kelima buat Ruben Amorim dalam 10 perlawanan di bawah kendaliannya setakat ini.
Dalam aksi pagi ini, Bruno Fernandes diperintah keluar padang selepas melakukan kekasaran berulang ketika perlawanan baru memasuki dua minit dalam separuh masa kedua.
Beraksi dengan 10 pemain, United dikejutkan dengan jaringan tuan rumah pada minit ke-58 oleh Matheus Cunha berpunca daripada sepakan sudut menewaskan penjaga gol, Andre Onana sebelum Hwang Hee-chan menambah derita Amorim di hujung perlawanan. – AFP/UTUSAN
KEPUTUSAN
Bournemouth 0-0 Crystal Palace
Chelsea 1-2 Fulham
Liverpool 3-1 Leicester
Man City 1-1 Everton
Newcastle 3-0 Aston Villa
Nott Forest 1-0 Tottenham
Southampton 0-1 West Ham
Wolves 2-0 Manchester United


































