Dr. Joachim (lima dari kanan) bersama penerima sijil myGAP.
RANAU: Seramai 34 pengusaha pertanian di Ranau menerima pensijilan myGAP (Skim pensijilan amalan pertanian baik) dan myOrganic (Skim pensijilan Organik Malaysia).
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, pengusaha pertanian dan pengguna kini semakin peka dengan kualiti, keselamatan dan kesegaran makanan yang dikeluarkan dan dinikmati setiap hari.
“Di sinilah terletaknya peranan penting program pensijilan myGAP dan myOrganic yang telah diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian Sabah sejak tahun 2002.
“Saya difahamkan, pensijilan myGAP menitikberatkan amalan pertanian yang baik, meningkatkan hasil, mesra alam dan menjaga kebajikan pekerja selain memastikan hasil tanaman adalah selamat untuk dimakan, bersih dan berkualiti.
“Manakala myOrganic pula adalah pengiktirafan kepada kepada pengusaha pertanian bagi sistem pengeluaran yang menggunakan sepenuhnya bahan semulajadi tanpa penggunaan racun kimia sintetik.
“Kedua-dua pensijilan ini bukan sahaja menjamin kualiti dan keselamatan makanan, tetapi juga memberi faedah dari segi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk tempatan, memperkukuh penjenamaan hasil ladang di pasaran domestik dan antarabangsa serta membuka akses pasaran premium dan eksport yang lebih luas,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berkata demikian ketika merasmikan Program Kesedaran myGAP dan myOrganic Kundasang Tahun 2026 yang diadakan di Dewan Terbuka Pekan Kundasang di sini, pada Ahad.
Dr. Joachim menyeru lebih ramai pengusaha pertanian khususnya di Kundasang untuk menyertai program pensijilan tersebut dan memanfaatkan khidmat nasihat, bimbingan serta pelbagai insentif yang disediakan oleh Jabatan Pertanian Sabah untuk mendapatkan sijil myGAP atau myOrganic serta meluaskan Agro Green Zone.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan dalam memastikan produk pertanian sentiasa berkualiti, terjamin dan mencukupi, pelbagai isu harus dihadapi akibat daripada tekanan krisis global yang memberi impak kepada sektor pengeluaran makanan di Malaysia.
“Antara kesan ketara yang kita hadapi ialah peningkatan kos operasi, peningkatan kos input baja dan racun, penurunan hasil komoditi dan gangguan pasaran.
“Faktor-faktor ini secara langsung akan mempengaruhi, kuantiti harga pasaran, kos pengeluaran dan pengangkutan, kebajikan pekerja dan sebagainya.
“Saya percaya Jabatan Pertanian akan terus memberi bimbingan dan khidmat nasihat dalam mengurus dan mengendalikan ladang supaya kesan dari tekanan krisis global ini adalah pada tahap minimum,” ujarnya.
Beliau menambah, pensijilan myGAP atau myOrganic itu bukan sahaja memberi nilai tambah kepada produk pengusaha pertanian malah juga membuka peluang pasaran yang lebih luas termasuk pasaran antarabangsa dan eksport.
Hadir sama, Pegawai Daerah, Tinus Manggam; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau, Elmer M. Sator; Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Jifrin Hj. Mohamad dan Pegawai Pertanian Kanan, Pejabat Pertanian Ranau, Kelvin Kalianon.
































