Julita (belakang, tujuh dari kiri) dan Ivy bersama ahli jawatankuasa penganjur..
KOTA KINABALU: Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki menyeru ibu bapa agar mengutamakan taska berdaftar bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan anak-anak, di samping menegaskan keperluan mendesak untuk menambah kapasiti penjagaan kanak-kanak di negeri ini menjelang 2030.
Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 95 taska tidak berdaftar telah dikenal pasti beroperasi di Sabah, dengan sebahagiannya masih dalam proses permohonan dan menunggu kelulusan pihak berkuasa tempatan.
Menurutnya, isu penderaan kanak-kanak perlu ditangani secara menyeluruh kerana ia boleh berlaku di mana-mana, termasuk di rumah, namun taska berdaftar menawarkan lapisan perlindungan yang lebih baik menerusi pemantauan serta penguatkuasaan pihak berkuasa.
“Penyelesaian perlu dicari untuk mengenal pasti punca berlakunya penderaan dan langkah pencegahan perlu terus diperkukuhkan.
“Pada masa sama, ibu bapa perlu sedar bahawa menghantar anak ke taska tidak berdaftar mendedahkan mereka kepada risiko yang lebih besar kerana tiada pemantauan berkala dijalankan,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan Sambutan Hari Taska Peringkat Negeri Sabah di 1Borneo Hypermall, di sini, kelmarin.
Julita berkata, penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) di taska berdaftar kini menjadi antara elemen penting dalam memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa terpelihara.
Menurut beliau, pemasangan CCTV merupakan syarat wajib bagi pendaftaran taska dan semua taska berdaftar perlu mematuhi keperluan tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata, Sabah turut berdepan cabaran kekurangan kemudahan penjagaan awal kanak-kanak apabila hanya sekitar 230 taska berdaftar beroperasi di seluruh negeri ketika ini.
Katanya, berdasarkan unjuran penduduk, jumlah kanak-kanak berumur antara sifar hingga empat tahun di Sabah dijangka mencecah 445,000 orang menjelang tahun 2030.
“Keadaan ini memerlukan kira-kira 110,000 tempat di taska bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pelaburan dalam pembangunan awal kanak-kanak bukan sahaja penting untuk kesejahteraan keluarga, malah merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan dan masa depan Sabah.
“Pelaburan dalam pembangunan awal kanak-kanak bukan sahaja penting untuk kesejahteraan keluarga, malah merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan dan masa depan Sabah,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden Persatuan Perkhidmatan Taska Sabah (PPTS), Ivy Benjamin Botingon.
































