Keadaan kereta dan motosikal tersebut.
PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun maut dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motokar dan motosikal di Jalan Kota Kinabalu–Papar, Kilometer 17, Penampang, awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintenden Arisanti Aziz berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.30 pagi dan disahkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati sebuah motokar yang dipandu lelaki tempatan berusia 22 tahun dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Papar dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar motosikal yang ditunggang mangsa.
“Akibat pelanggaran tersebut, motosikal mangsa telah terseret sebelum terbakar manakala mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin.
Arisanti berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik HQE I untuk tujuan bedah siasat.
Beliau berkata, pihak polis telah menahan pemandu motokar terbabit bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sehubungan itu, Arisanti meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan.
“Saksi kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133 bagi menyalurkan maklumat berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar di lokasi kemalangan bagi menghormati serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
“Kerjasama masyarakat amat dihargai bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lancar dan pada masa sama menjaga perasaan ahli keluarga mangsa,” katanya.
































