Armizan Mohd. Ali
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperkukuh agenda reformasi pasaran negara apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Persaingan (Pindaan) 2026 (RUU 712) dan RUU Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026 (RUU 713).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kelulusan kedua-dua RUU itu merupakan langkah penting dalam memperkasakan ekosistem persaingan sihat di Malaysia melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Katanya, KPDN kekal komited memastikan pasaran domestik yang adil, mampan dan progresif demi melindungi kebajikan rakyat serta memelihara kestabilan ekonomi negara.
“Langkah ini merupakan agenda reformasi perundangan utama KPDN melalui MyCC untuk memperkasakan ekosistem persaingan sihat di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan berkata, RUU 712 memberi tumpuan kepada penambahbaikan aspek kuasa penguatkuasaan dan penyiasatan MyCC bagi membolehkan tindakan terhadap amalan antipersaingan dilaksanakan dengan lebih efektif dan efisien.
Beliau berkata, pindaan itu turut bertujuan memperluaskan perlindungan pasaran dan pengguna, sekali gus membantu menangani isu kos sara hidup rakyat.
“Secara keseluruhannya, sebanyak 34 pindaan terlibat menerusi penambahbaikan kepada 29 seksyen sedia ada serta pengenalan lima seksyen baharu,” katanya.
Antara penambahbaikan utama ialah memperkemaskan definisi persatuan di bawah Seksyen 2 bagi mencegah penyalahgunaan persatuan perusahaan sebagai medium untuk bersekongkol dan mewujudkan aktiviti kartel dalam pasaran.
Armizan berkata, melalui definisi yang diperbaharui itu, persatuan perusahaan perlu lebih peka terhadap batas undang-undang dalam menjalankan aktiviti masing-masing.
“Penambahbaikan ini memastikan fungsi persatuan dimanfaatkan untuk memajukan industri dan bukannya menjadi dalang kepada manipulasi pasaran,” katanya.
Beliau berkata, antara lima seksyen baharu yang diperkenalkan ialah Seksyen 11A yang memperuntukkan tindakan kesalahan jenayah terhadap mana-mana perusahaan yang gagal memberikan kerjasama atau maklumat kepada MyCC bagi tujuan kajian pasaran.
Katanya, peruntukan baharu itu akan memastikan kajian pasaran dapat dilaksanakan secara menyeluruh, telus dan berpaksikan data yang tepat bagi mencapai objektif yang ditetapkan.
Selain itu, beliau berkata pengenalan Seksyen 58A memberi kepastian undang-undang kepada Suruhanjaya untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi sekiranya keputusan di bawah Seksyen 35, 39 dan 40 diketepikan oleh Tribunal Rayuan Persaingan.
Bagi menyokong pelaksanaan berkesan RUU 712, Armizan berkata pindaan terhadap RUU 713 turut dilaksanakan melibatkan 10 seksyen, termasuk penambahbaikan kepada sembilan seksyen sedia ada dan pengenalan satu seksyen baharu.
Menurutnya, pindaan itu akan memperuntukkan kuasa Suruhanjaya yang lebih jelas dan pragmatik termasuk kuasa perwakilan untuk melaksanakan fungsi tertentu.
Beliau berkata, selepas mendapat kelulusan Dewan Rakyat, kedua-dua RUU berkenaan dijadual dibentangkan di Dewan Negara yang akan bersidang dari 20 Julai hingga 4 Ogos depan.
“KPDN akan terus komited memperkukuh agenda reformasi pasaran demi memastikan ekosistem perdagangan domestik kekal adil dan berintegriti.
“Pindaan akta ini diharapkan akan bertindak sebagai instrumen perundangan yang ampuh dalam memelihara kesejahteraan rakyat serta memacu kemampanan ekonomi negara secara menyeluruh,” katanya.
































