TUARAN: Kejohanan Bola Baling Sekolah Rendah Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Tuaran 2026 bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya platform penting untuk mencungkil bakat atlet muda serta membentuk generasi yang berdisiplin, berintegriti dan berdaya saing.
Datuk Mohammad Ghazali Hajiji berkata, sukan memainkan peranan besar dalam pembentukan sahsiah murid dengan melahirkan generasi yang sihat, berani menghadapi cabaran, menghormati peraturan serta mampu bekerjasama sebagai satu pasukan.
Menurut beliau, kejohanan seperti itu turut menjadi platform terbaik untuk mengenal pasti atlet berpotensi mewakili daerah ke peringkat Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSS Sabah) sebelum melangkah ke Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
“Seorang juara bukan hanya diukur melalui pingat yang dimenangi, tetapi juga melalui akhlak, sikap dan keperibadian yang ditunjukkan sepanjang pertandingan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Kejohanan Bola Baling Sekolah Rendah MSSD Tuaran 2026 yang berlangsung di Tuaran Futsal Arena.
Ghazali berkata, sukan bola baling bukan sahaja menguji ketangkasan dan kepantasan membuat keputusan, malah mampu membentuk nilai kepimpinan, komunikasi serta semangat juang yang tinggi dalam kalangan murid sejak usia muda.
Pada masa sama, beliau mengingatkan semua peserta supaya tidak hanya mengejar kemenangan, sebaliknya menjadikan kejohanan itu sebagai medan menimba pengalaman, mengeratkan persahabatan, menghormati pengadil serta pihak lawan dan sentiasa menjunjung tinggi semangat kesukanan.
Kejohanan yang berlangsung pada 6 hingga 7 Julai itu menghimpunkan penyertaan sekolah-sekolah rendah dari seluruh daerah Tuaran bagi kategori bawah 12 tahun lelaki dan perempuan.
Acara dimulakan seawal jam 6.30 pagi dengan pendaftaran peserta, diikuti perlawanan peringkat kumpulan sebelum majlis perasmian pada jam 10 pagi, manakala saingan diteruskan sehingga tamat pada hari kedua kejohanan.
Program berkenaan membawa tema “Bersaing Dengan Semangat, Menang Dengan Integriti”.
Antara sekolah yang mengambil bahagian ialah SK Guakon Baru, Sekolah Agama Suria, SK Lokub, SK Rugading, SK Pekan Telipok, SK Gontung, SK Pekan Tamparuli, SK Bolong, SK Kayangat, SJKC Chen Sin, SK Bundung, SK Bawang, SK Topokon, SK Tinambak, Zon Nabalu, SK Sungai Damit, SK Serusup, SK Lok Yuk, SK Kelawat dan SK Pekan Tenghilan.
Penyertaan melibatkan pasukan lelaki dan perempuan dari seluruh daerah Tuaran.
Ghazali turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran, Unit Pembangunan Bakat Murid, SK Sungai Damit selaku tuan rumah, para guru, jurulatih, ibu bapa serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan kejohanan tersebut.
Beliau berharap penganjuran kejohanan seumpama itu akan terus menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan sekolah di daerah Tuaran.
Katanya, usaha berterusan itu mampu melahirkan lebih ramai atlet muda yang bukan sahaja cemerlang di gelanggang, malah memiliki sahsiah, disiplin dan integriti tinggi untuk mengharumkan nama daerah, negeri Sabah serta Malaysia pada masa hadapan.
































