KOTA KINABALU: Kerajaan kini membenarkan penerima BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) memohon pemindahan kelayakan subsidi kepada ahli keluarga terdekat yang menggunakan kenderaan diesel berkenaan.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah itu diambil selepas Kerajaan meneliti maklum balas rakyat berhubung penggunaan kenderaan diesel milik ahli keluarga terdekat atau kenderaan yang belum dikemas kini rekod pemilikannya.
Menurut beliau, bagi kenderaan diesel persendirian yang digunakan oleh ahli keluarga terdekat yang berbeza daripada pemilik berdaftar, penerima asal BUDI Diesel boleh membuat permohonan pemindahan kelayakan melalui portal rasmi BUDI MADANI, tertakluk kepada syarat dan pengesahan yang ditetapkan.
“Penambahbaikan ini menunjukkan bahawa pelaksanaan BUDI Diesel akan terus dipantau dan disesuaikan berdasarkan maklum balas rakyat, supaya manfaat subsidi sampai kepada penerima yang layak tanpa membuka ruang kepada ketirisan dan penyeludupan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebagai alternatif, beliau berkata, pengguna sebenar kenderaan diesel juga boleh mengemas kini rekod pemilikan kenderaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Katanya, Kerajaan turut melaksanakan pengecualian fi tukar hak milik kenderaan diesel selama tiga bulan bermula 1 Julai 2026 bagi memudahkan urusan tersebut.
Amir Hamzah berkata, pemilik jip dan pikap diesel yang ingin memohon tambahan 100 liter sebulan serta pemindahan kelayakan BUDI Diesel boleh berbuat demikian melalui portal BUDI MADANI yang turut menyediakan soalan lazim berkaitan pelaksanaan program itu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, hampir 200,000 pemilik kenderaan diesel jenis jip dan pikap di seluruh negara telah diluluskan tambahan 100 liter diesel bersubsidi sebulan di bawah BUDI Diesel, menjadikan jumlah had kelayakan mereka sebanyak 300 liter sebulan bermula Julai 2026.
Menurutnya, sehingga 4 Julai 2026, jumlah itu melibatkan lebih 174,000 warganegara di Semenanjung Malaysia serta lebih 22,000 warganegara di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Beliau berkata, kemudahan tambahan itu disediakan dengan mengambil kira keperluan penggunaan diesel yang lebih tinggi dalam kalangan pemilik pikap dan jip, termasuk bagi kegunaan perusahaan kecil dan sederhana serta perjalanan ke kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Kerajaan memahami bahawa bagi pemilik pikap dan jip diesel, kenderaan ini bukan sekadar untuk perjalanan harian, tetapi turut digunakan bagi mencari rezeki dan mengurus keperluan keluarga.
“Sebab itu, kemudahan tambahan 100 liter ini disediakan. Harapan kita, kemudahan tambahan ini dapat membantu mereka mengurus keperluan diesel bulanan dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan BUDI Diesel menggunakan MyKad sebagai kaedah pengesahan kewarganegaraan dan kelayakan bagi memastikan subsidi diesel disalurkan kepada rakyat Malaysia yang layak.
Menurutnya, mekanisme itu memastikan bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi.
Sejak pelaksanaan akses awal BUDI Diesel pada 27 Jun sehingga 4 Julai 2026, lebih 336,000 transaksi diesel telah direkodkan melibatkan pembelian sebanyak 12.6 juta liter diesel bersubsidi.
Katanya, dalam tempoh tersebut Kerajaan MADANI telah menanggung lebih RM23 juta subsidi diesel, melibatkan jualan pada harga RM2.15 seliter semasa akses awal dan RM2.10 seliter selepas pelaksanaan penuh BUDI Diesel bermula 1 Julai lalu.
“Subsidi bersasar merupakan manfaat Kerajaan untuk rakyat Malaysia yang layak. Pada masa yang sama, penyasaran subsidi penting bagi memastikan bekalan diesel bersubsidi kekal terjamin dan bantuan tidak disalah guna oleh pihak yang tidak layak.
“Pelaksanaan BUDI Diesel bukan bertujuan menafikan bantuan kepada rakyat yang layak, sebaliknya memastikan subsidi Kerajaan disalurkan mengikut keperluan sebenar sambil menutup ruang ketirisan dan penyeludupan yang telah merugikan negara berbilion ringgit setiap tahun,” katanya.
Beliau menegaskan Kerajaan MADANI akan terus memantau pelaksanaan BUDI Diesel serta meneliti maklum balas rakyat dan industri bagi memastikan manfaat subsidi sampai kepada penerima yang layak, bekalan diesel bersubsidi kekal terjamin dan ketirisan dapat terus dikekang.
































