Johari mewakili Masidi menyantuni para persara dalam majlis tersebut.
RANAU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun menyeru warga pesara pendidikan agar terus memainkan peranan sebagai mentor, penasihat dan sumber inspirasi kepada generasi muda supaya pengalaman serta kepakaran yang dimiliki dapat terus dimanfaatkan.
Beliau berkata, pengalaman yang dikumpulkan sepanjang perkhidmatan dalam dunia pendidikan amat penting dan bernilai serta masih diperlukan oleh sekolah, institusi pendidikan dan masyarakat.
Menurutnya, pengalaman tersebut mampu membantu membimbing generasi pewaris untuk menghargai ilmu, menghayati nilai murni serta menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
“Persaraan bukanlah noktah kepada sumbangan seseorang guru, sebaliknya membuka ruang untuk terus berbakti dalam pelbagai bentuk kerana semangat seorang pendidik tidak pernah mengenal erti persaraan,” katanya ketika merasmikan Majlis KARISMA Peringkat Negeri Sabah 2026 anjuran Persatuan Persara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5PM) Cawangan Negeri Sabah di Dewan Masyarakat Ranau, pada Sabtu. Teks ucapan yang disampaikan oleh Setiausaha Politik beliau, Johari Suhaimin.
Masidi berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memberi penekanan kepada pembangunan modal insan sebagai antara keutamaan dalam agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Katanya, agenda tersebut bukan sahaja menumpukan kepada pertumbuhan ekonomi, malah bertujuan melahirkan rakyat yang berilmu, berkemahiran, berdaya saing dan mempunyai jati diri yang kukuh.
“Segala aspirasi itu tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sumbangan besar warga pendidik yang menjadi tunjang pembangunan modal insan di negeri ini.
“Justeru, Kerajaan sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan para guru termasuk warga pesara yang telah meletakkan asas kukuh kepada sistem pendidikan Sabah,” katanya.
Beliau turut berharap Persatuan Persara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia akan terus menjadi sebuah persatuan yang aktif dan relevan dalam menjaga kebajikan ahlinya.
Menurutnya, persatuan berkenaan juga berperanan memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan ahli selain menjadi platform untuk berkongsi pengalaman dan idea ke arah memperkasakan pendidikan di Sabah.
Dalam majlis tersebut, turut diraikan sambutan ulang tahun kelahiran ke-60 Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Saidin yang disambut pada bulan ini.
Turut hadir ialah mantan Pengarah JPNS, Datuk Dr. Mistirine Radin dan Datuk Maimunah Suhaibul, Yang Dipertua 5PM Cawangan Sabah, Datuk Dr. Dayu Sansalu, Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Barizah Mohd. Kahar serta Pengerusi 5PM Cawangan Daerah Ranau, Majus Munsing.
































