Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat reruai selepas Majlis Peluncuran Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan di MITEC, Kuala Lumpur, kelmarin.
PETALING JAYA: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) menyaksikan sebanyak 97 juta peluang pekerjaan baharu bakal diwujudkan di seluruh dunia menjelang tahun depan manakala 85 juta lagi bidang pekerjaan akan berkurangan.
Menurut Utusan Malaysia, berdasarkan laporan The Future of Jobs Report 2020 oleh World Economic Forum, antara pekerjaan baharu yang bakal diwujudkan adalah penganalisis dan saintis data, pakar kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin, pakar data raya, pakar pemasaran digital dan strategi serta pakar automasi proses.
Sementara itu, pekerjaan yang akan susut permintaannya adalah kerani data, setiausaha pentadbiran dan eksekutif, kerani perakaunan, penyimpan kira-kira dan gaji, akauntan dan juruaudit serta pekerja kilang.
Pensyarah Fakulti Sains Data dan Komputeraan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Madya Dr. Nooraini Yusoff berkata, penggunaan AI boleh menyebabkan perubahan besar dalam sektor pekerjaan negara.
Namun, katanya itu tidak bermakna teknologi tersebut boleh menggantikan semua jenis pekerjaan.
“Sektor pekerjaan di Malaysia masih memerlukan campur tangan manusia untuk diteruskan, terutamanya dalam sektor tidak berkaitan sistem seperti perubatan dan perundangan,” katanya.
Dr. Nooraini berkata, penciptaan data yang tidak tepat atau bias boleh menyebabkan AI memberikan nasihat yang tidak adil, sekali gus sesuatu sektor pekerjaan itu tidak boleh berkembang secara positif.
“Setiap bidang mempunyai risiko penggunaan tersendiri kerana AI kebanyakannya berasaskan data. Jika model yang dibangunkan berdasarkan data yang bias dan tidak tepat, AI berisiko memberikan nasihat yang tidak tepat.
“Dalam bidang yang memerlukan kemahiran manusia yang tinggi seperti perundangan dan perubatan, penggunaan AI masih memerlukan campur tangan manusia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Akhbar ini sebelum ini melaporkan bahawa penggunaan teknologi AI di negara ini bukan faktor utama kepada kehilangan banyak pekerjaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa rakyat agar menerima kemajuan teknologi maklumat (IT) seiring dengan perkembangan semasa.
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektronik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Ahmad ‘Athif Mohd Faudzi berkata, kursus AI sudah mula diperkenalkan di institut pengajian tinggi (IPT), namun bukan secara keseluruhan dan ia mengambil masa untuk dilaksanakan di semua IPT.
Ditanya mengenai cadangan untuk menukar bidang pengajian yang dilihat tidak lagi relevan dengan subjek AI memerlukan penelitian rapi dan kerelevanan semasa.
Katanya, kesedaran tentang AI perlu dimulakan di peringkat sekolah, manakala pengajian mendalam sesuai diterapkan di peringkat diploma, universiti, dan kemahiran tinggi.
“Seterusnya, ia perlu diperluas dalam sektor pekerjaan iaitu kepada pekerja melalui kursus tambahan untuk meningkatkan penggunaan teknologi dalam pekerjaan.
“AI berkesan untuk kerja-kerja berulang seperti membuat laporan atau pengiraan, yang dapat mempercepatkan proses kerja,” katanya.


































