SYDNEY: Negeri Queensland di Australia meluluskan undang-undang yang akan melihat kanak-kanak seawal usia 10 tahun dikenakan hukuman penjara sama seperti orang dewasa jika disabitkan dengan jenayah seperti pembunuhan, serangan serius dan pecah masuk.
Menurut Utusan Malaysia, Kerajaan berkata, peraturan hukuman yang lebih tegas itu dibuat berikutan kemarahan masyarakat terhadap jenayah yang dilakukan oleh pesalah muda.
Tetapi ramai pakar berpendapat hukuman lebih berat tidak mengurangkan kesalahan remaja sebaliknya akan memburukkan lagi masalah itu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengkritik pembaharuan itu yang disifatkan mengabaikan konvensyen mengenai hak asasi manusia kanak-kanak dan melanggar undang-undang antarabangsa.
Parti Kebangsaan Liberal (LNP) yang memenangi pilihan raya negeri pada Oktober menjadikan peraturan itu sebagai ciri kempennya, mengatakan mereka meletakkan ‘hak mangsa mengatasi hak penjenayah’.
“Undang-undang ini adalah untuk setiap warga Queensland yang pernah merasa tidak selamat dan menjadi mangsa jenayah remaja di seluruh negeri kita,” kata Pemimpin Queensland, David Crisafulli selepas Parlimen meluluskan rang undang-undang itu.
Sebelum pengundian, kedua-dua pakatan politik mendakwa Queensland berada dalam cengkaman gelombang jenayah remaja dan pendekatan yang lebih punitif diperlukan untuk memerangi isu itu.
Undang-undang baharu itu menyenaraikan 13 kesalahan yang kini akan dikenakan hukuman penjara lebih berat apabila dilakukan oleh golongan muda, termasuk tahanan mandatori seumur hidup kerana membunuh, dengan tempoh tanpa parol selama 20 tahun.
Sebelum ini, hukuman maksimum bagi pesalah muda yang disabitkan kesalahan membunuh ialah 10 tahun penjara, dengan hukuman penjara seumur hidup hanya dipertimbangkan jika jenayah itu amat buruk.


































