Wong Tat Meng (kanan) berasa puas hati dapat membimbing Lee Zii Jia sepanjang 18 bulan.
PETALING JAYA: Pemergian Wong Tat Meng sejujurnya memberi tamparan yang hebat buat pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia yang sudah meraih pelbagai pencapaian ketika dibawah pimpinannya selama 18 bulan.
Menurut Utusan Malaysia, berbekalkan pengalamannya, Tat Meng berhasil ‘membangunkan semula’ Zii Jia yang hampir mempertimbangkan untuk bersara selepas berjaya merangkul pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 serta tiga gelaran Super 500 sepanjang dibawah bimbingnya.
Menerusi laman sosial Tat Meng, beliau berbangga dengan kebangkitan semula anak jati Alor Setar, Kedah itu selepas bergelut dengan prestasi yang buruk sebelum beliau melatihnya untuk menembusi kelompok 10 pemain terbaik dunia ketika ini.
“Menjelang penghujung musim, perjalanan saya selama 18 bulan bersama Zii Jia sampai ke penghujungnya. Kejohanan Jelajah Dunia Akhir menjadi tugasan terakhir kami bersama dan ianya menjadi saat yang tepat untuk merenung jalan yang kami telah lalui.
“Apabila kami memulakan perkongsian ini, tumpuannya jelas untuk membantu menemui semula bentuk dan keyakinan beliau. Melalui usaha keras, ketekunan yang tidak terkira, kami mencapai beberapa pencapaian yang bermakna,” kata Tat Meng.
Dalam masa yang sama, jurulatih berusia 57 tahun itu turut menyanjung kerja keras Zii Jia yang bermotivasi tinggi untuk membuktikan beliau masih belum berputus asa sebagai pemain badminton negara.
“Melihat dia menamatkan saingan di podium Olimpik Paris 2024 sudah membuktikan kecekalan dan semangat juangnya selama ini.
“Saya berbangga dapat memainkan peranan dalam pencapaiannya dan saya menantikan babak seterusnya dalam karier kejurulatihan saya,” ujarnya.
Bagaimanapun, Tat Meng tidak mendedahkan perjalanannya pada musim depan dan difahamkan akan menyertai Kelab Roketto di Sydney, Australia yang dikendalikan oleh rakannya, Asok Boopathy.
Kelab Roketto yang dikenali sebagai Pusat Badminton Roketto menawarkan kemudahan sukan berkenaan bertaraf dunia serta program latihan untuk semua peringkat dan memberi tumpuan untuk melahirkan bakat badminton bertaraf tinggi di Australia.
































