BERLIN: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menghantar pasukan pakar ke Republik Demokratik Congo untuk membantu pihak berkuasa tempatan menyiasat penyakit misteri yang dikaitkan dengan beberapa kematian di kawasan terpencil negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, pakar WHO kini dalam perjalanan ke Panzi, sebuah kawasan di wilayah Kwango di barat daya negara itu, di mana mereka akan menyerahkan bekalan ubat-ubatan penting dan kit diagnostik untuk menganalisis punca penyakit berkenaan.
Menurut WHO, ujian makmal sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca penyakit dan maklumat lanjut akan dikongsi sebaik sahaja diketahui.
“Keutamaan kami adalah memberikan sokongan berkesan kepada keluarga dan komuniti yang terjejas.
“Semua usaha sedang dilakukan untuk mengenal pasti punca penyakit, memahami cara penyebarannya, dan memastikan tindak balas yang sesuai dilaksanakan dengan segera,” kata Pengarah Wilayah Afrika WHO, Matshidiso Moeti.
Menurut data Kementerian Kesihatan Awam Congo, WHO melaporkan sebanyak 394 kes dan 30 kematian di zon kesihatan Panzi, setakat ini.
Awal minggu ini, pihak berkuasa tempatan memaklumkan penyakit tidak dikenali itu meragut 143 nyawa di kawasan tersebut sepanjang November.
Menurut WHO, simptom penyakit itu termasuk sakit kepala, batuk, demam, kesukaran bernafas dan anemia.
Pasukan WHO dijangka memainkan peranan penting dalam mengenal pasti punca penyakit dan membantu pihak berkuasa Congo menangani wabak dengan lebih berkesan.


































