Piala ASEAN 2024 merupakan tugasan terakhir Pau Marti Vicente mengendalikan skuad kebangsaan.
PETALING JAYA: Pemain tengah Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba menggesa rakan sepasukannya untuk memberikan aksi terbaik dalam kempen Piala AFF 2024 sebagai hadiah perpisahan bermakna kepada jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente.
Menurut Utusan Malaysia, Harimau Malaya dijadual menentang Kemboja dalam aksi pertama Kumpulan A Piala ASEAN 2024 di Phnom Penh, Ahad ini mengakui berita mengenai pemergian Pau Marti untuk meninggalkan pasukan selepas tamat kejohanan tersebut telah meninggalkan kesan.
“Semua tahu jurulatih Pau Marti sudah lama dengan skuad kebangsaan dan perkara itu mesti ada impak untuk setiap daripada kami.
“Bagaimanapun, kita harap kejohanan ini akan bagi satu hadiah perpisahan yang baik untuk dia, untuk apa yang dia dah buat kepada pasukan, sumbangan dia dan ini medan terbaik untuk kita memberikan sesuatu kepada jurulatih,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan pengendali dari Sepanyol itu secara rasmi mengumumkan bahawa Piala ASEAN 2024 akan menjadi tugasan terakhirnya bersama pasukan kebangsaan.
Pengendali berusia 41 tahun itu, menjelaskan bahawa pengundurannya sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan adalah kerana penstrukturan semula Pengurusan Pasukan Kebangsaan.
Syameer yang dipilih untuk menggalas tugas sebagai kapten bersama dua lagi pemain iaitu Dominic Tan dan Syafiq Ahmad dalam kempen Piala ASEAN 2024 tekad menjadikan setiap perlawanan sebagai final dalam usaha mereka untuk mencipta kejayaan demi negara.
“Satu cabaran untuk kami bermain di tempat lawan dan saya percaya Kemboja ada persiapan yang baik tetapi itu bukan satu alasan untuk kami sebab setiap perlawanan adalah final untuk kejohanan kali ini dan saya harap kita dapat melangkah sejauh yang mungkin dan dapat beri sesuatu untuk negara kita,” katanya.
Syameer turut berasa gembira dan menghargai tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan oleh Pau Marti terhadap dirinya untuk memimpin pasukan sepanjang kejohanan tersebut.
“Tetapi, saya ambil cabaran ini untuk memikul tanggungjawab. Kami sepasukan saling menyokong antara satu sama lain dan setiap daripada kami mempunyai kepimpinan dan peranan masing-masing,” katanya.


































