Anggota bomba memadamkan kebakaran tujuh buah rumah sewa di Kampung Parit Lapis Semarang, Ayer Hitam, Batu Pahat.
BATU PAHAT: Hasrat sebuah keluarga bersarapan telur rebus terbantut apabila rumah sewa mereka dan enam keluarga lain musnah dalam kebakaran di Kampung Parit Semarang, di sini semalam.
Menurut Utusan Malaysia, mangsa, Nur Haliza Hisham, 24, berkata kejadian pukul 8.15 pagi itu berlaku apabila api secara tiba-tiba muncul daripada getah saluran gas di dapur rumahnya dan gagal dipadamkan akibat panik.
Usaha adik lelakinya untuk memadamkan api berkenaan juga gagal dan akibatnya 33 mangsa daripada tujuh keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran itu.
“Ketika kejadian saya sedang merebus telur dan dalam masa sama membuat kerja rumah yang lain sebelum melihat api keluar dari getah saluran gas. Saya kejutkan adik (Hafiz) untuk memadamkan api namun ia cepat merebak, seterusnya menyambar bumbung rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Hafiz, 20, pada mulanya menggunakan kain basah untuk memadamkan api namun tidak berjaya sebelum menggunakan lapan alat pemadam api, tetapi gagal.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Aaron Laurai, 36, berkata, selepas menyedari kejadian itu, dia terus mengejutkan isteri serta anak perempuannya yang masih tidur.
“Selepas gagal mendapatkan bantuan, saya nekad menunggang motosikal kira-kira lima kilometer untuk memaklumkan kepada pasukan bomba dan penyelamat tentang kejadian itu. Sebaik kembali ke rumah, kediaman kami musnah terbakar dan tidak sempat menyelamatkan apa-apa termasuk dokumen penting,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang, Datuk Samsolbari Jamali ketika dihubungi memaklumkan semua mangsa kini ditawarkan tempat tinggal sementara di Balai Raya Bukit Kuari.