Penduduk meredah air yang semakin naik di Kampung Pasir, Ketereh, Kelantan.
PETALING JAYA: Jumlah mangsa akibat banjir meningkat kepada 129,747 melibatkan 38,848 keluarga setakat tengah hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, berdasarkan maklumat portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), peningkatan sebanyak hampir 18 peratus itu menjadikan keseluruhan pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka berjumlah 710 di seluruh negara.
Kelantan kekal negeri terjejas paling tinggi merekodkan 84,800 mangsa dengan peningkatan lebih 14,000 berbanding semalam.
Terengganu pula mengalami peningkatan hampir dua kali ganda apabila jumlah mangsa terjejas mencecah hampir 36,000.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan peringatan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya bagi beberapa tempat di negeri itu.
Antara daerah terlibat di Kelantan adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai serta Terengganu.
Hujan berterusan di dua negeri itu dijangka berpanjangan sehingga 6 Disember depan.