PETALING JAYA: Pelakon, Anna Jobling mengakui menerima banyak tawaran berlakon di Indonesia selepas membintangi filem seram, Lembayung arahan Baim Wong.
Menurut Utusan Malaysia, Anna berkata, bagaimanapun, dia menetapkan beberapa syarat kepada pihak produksi di negara itu setiap kali menerima tawaran memandangkan industri perfileman di sana lebih terbuka dalam mengetengahkan babak-babak yang berani dan sensitif.
“Saya akan maklumkan kepada pihak produksi mengenai batas saya untuk sesebuah watak terutamanya dari segi pemakaian atau lakonan.
“Jika mereka boleh terima syarat saya, tiada masalah untuk bekerjasama. Alhamdulillah produksi di Indonesia juga sangat memahami tentang budaya masyarakat Malaysia,” katanya.
Anna berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Malam Gala filem Lembayung yang diadakan di sini, Selasa lalu.
Anna bagaimanapun memaklumkan tidak pernah terfikir untuk meninggalkan kerjaya lakonannya di Malaysia meskipun namanya semakin dikenali di negara jiran.
Katanya, dia juga terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan demi keseimbangan jadual kerjanya yang perlu berulang-alik ke Indonesia.
“Meskipun saya sudah dikenali di Indonesia, saya tidaklah begitu selektif dalam memilih naskhah. Saya tetap akan bekerja di sini.
“Sebenarnya, saya terpaksa lepaskan beberapa tawaran disebabkan jadual kerja. Tak mungkin saya nak ulang-alik setiap hari.
“Insya-Allah tahun depan saya akan terlibat dengan dua buah filem selain sebuah drama bersiri,” kongsinya.
Filem Lembayung turut dibintangi barisan pelakon hebat Indonesia seperti Arya Saloka, Taskya Namya, Yasamin Jasem dan Oka Antara.
Filem yang mendapat sambutan hangat di Indonesia sejak September lalu itu bakal ditayangkan di pawagam Malaysia pada 5 Disember ini.