Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR (Bernama): Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti pelaksanaan dua model pelesenan bagi platform e-dagang sebagai sebahagian usaha menangani kemudaratan dalam talian selain melindungi pengguna.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata cadangan itu akan memberikan tumpuan kepada aspek kemudaratan dalam talian di bawah bidang kuasa MCMC, manakala isu kepenggunaan akan dikawal selia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Fahmi berkata langkah itu turut mengambil kira penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) e-dagang oleh KPDN yang dijangka menjelang pertengahan 2027.
“Kita telah meneliti undang-undang dan mungkin ke arah dua model pelesenan, iaitu MCMC melesenkan bagi membantu memastikan perkara berkaitan kemudaratan dalam talian dapat diatasi oleh platform e-dagang, manakala dari segi kepenggunaan, ia akan dikawal oleh KPDN,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata MCMC dan Kementerian Komunikasi bersedia untuk melaksanakan mekanisme pelesenan sekiranya perlu.
Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sesi penutupan Bengkel Pengurusan Barangan dan Perkhidmatan Terlarang Dalam Talian di sini, hari ini.
Beliau berkata bengkel yang julung-julung kali menghimpunkan lebih 13 platform e-dagang bersama-sama pelbagai agensi kerajaan itu turut mencapai persetujuan mengenai garis panduan mengenal pasti produk, yang dilarang dijual menerusi platform berkenaan berdasarkan undang-undang sedia ada.
“Ini termasuk perkara-perkara seperti dadah berbahaya, kandungan penderaan seksual kanak-kanak ataupun child sexual abuse material, dan juga barang-barang terlarang seperti senjata api dan sebagainya,” katanya.
Selain itu, Fahmi berkata penyelarasan turut dicapai berhubung maklumat yang perlu disediakan oleh platform e-dagang kepada agensi penguatkuasaan bagi membantu siasatan dan tindakan mahkamah, khususnya membabitkan kes penjualan dadah.
Beliau berkata penyelarasan itu membolehkan semua platform memahami keperluan pihak berkuasa, termasuk unit jenayah siber Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi memastikan maklumat yang diperlukan untuk tindakan undang-undang dapat disediakan.
Antara platform yang menyertai bengkel itu, termasuk Pinduoduo, Temu, Carousell, Facebook Marketplace, Shopee, Lazada, Foodpanda, Grab dan Mudah.my.
Beliau turut menggalakkan semua platform e-dagang menyertai Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), sebuah badan kawal selia kendiri industri di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi membolehkan mereka bersama-sama menetapkan piawaian keselamatan ekosistem digital.
Mengulas mengenai statistik hasil penguatkuasaan terhadap penjualan barangan terlarang menerusi platform e-dagang, Fahmi berkata maklumat berkenaan ketika ini dikumpulkan secara berasingan oleh agensi masing-masing dan belum diselaraskan sebagai satu pangkalan data menyeluruh.
Beliau berkata kerjasama lebih erat antara agensi penguatkuasaan, termasuk perkongsian maklumat dan data dijangka membolehkan tindakan diambil secara lebih terselaras selepas ini.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata MCMC boleh mengambil tindakan terhadap individu yang menyalahgunakan gelaran doktor menerusi platform media sosial sekiranya menerima laporan atau maklumat daripada agensi berkaitan, khususnya Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
Beliau berkata pengesahan kelayakan dan penggunaan gelaran profesional berkenaan terletak di bawah bidang kuasa badan berkaitan, manakala MCMC boleh mengambil tindakan berdasarkan maklumat yang diterima berhubung penyalahgunaan gelaran itu. — BERNAMA





























