James (dua kiri) yang mewakili Ketua Menteri menerima Bendera AIROC International bagi pihak Kerajaan Sabah di Gimnasium Wilayah Phu Tho, Vietnam, hari ini.
PHU THO, Vietnam: Sabah akan memanfaatkan penganjuran Artificial Intelligence and Robotics Competition (AIROC) International tahun depan untuk memupuk bakat muda serta memperkukuh kerjasama serantau dalam pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta inovasi.
Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata pertandingan antarabangsa itu akan memberi peluang kepada golongan muda untuk belajar daripada rakan sebaya dari seluruh rantau, bertukar-tukar idea dan membangunkan penyelesaian inovatif terhadap cabaran bersama.
“AIROC bukan sekadar pertandingan untuk bakat muda. Ia merupakan platform untuk memperkukuh kerjasama antara Sabah, Vietnam dan rakan-rakan dari seluruh rantau dalam bidang sains, teknologi, inovasi dan pendidikan STEM.
“Dengan menghubungkan pelajar, pendidik, penyelidik dan pemimpin industri, ia membuka ruang kepada pertukaran kepakaran, inisiatif bersama serta kerjasama berterusan,” katanya pada majlis penyerahan rasmi bendera AIROC International 2027 kepada Sabah di Gimnasium Wilayah Phu Tho di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib.
Hajiji berkata aspirasi berkenaan selari dengan hala tuju pembangunan Sabah, khususnya dalam pembangunan modal insan, kemajuan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
Beliau berkata sains, teknologi dan inovasi memainkan peranan penting dalam meningkatkan produktiviti, mewujudkan peluang bernilai tinggi serta menangani keperluan pembangunan Sabah.
Katanya, antara perkara utama dalam usaha itu ialah keperluan melengkapkan golongan muda dengan pengetahuan, kemahiran dan keyakinan untuk berkembang maju dalam dunia yang semakin dipacu teknologi.
“Kita perlu melengkapkan golongan muda bukan sahaja dengan pengetahuan teknikal, tetapi juga sifat ingin tahu untuk meneroka, keyakinan untuk bereksperimen serta keupayaan berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah dan bekerjasama.
“Pembelajaran secara praktikal dalam pengaturcaraan, robotik dan kecerdasan buatan dapat merapatkan jurang antara pengetahuan di bilik darjah dengan aplikasi dalam dunia sebenar,” katanya.
Hajiji berharap persahabatan dan kerjasama yang terjalin melalui AIROC dapat diteruskan melangkaui pertandingan itu, sekali gus membuka jalan kepada kerjasama serantau yang berterusan dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan industri.
Beliau berkata Sabah menantikan kehadiran peserta, pendidik, penganjur dan tetamu tahun depan bagi menyertai pertandingan yang akan menggalakkan pembelajaran, kerjasama dan inovasi bermakna.




























