KUCHING (Bernama): Sebanyak 632,149 pengundi berdaftar di 29 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak perlu keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 selepas calon di kawasan itu disahkan menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon semalam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi hantaran di saluran media sosial rasminya hari ini memaklumkan kesemua 29 calon itu telah disahkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Antara kawasan DUN terlibat ialah Tanjong Datu, Pantai Damai, Demak Laut, Tupong, Samariang, Satok, Asajaya, Muara Tuang, Sadong Jaya, Lambir, Simunjan, Gedong, Sebuyau, Lingga dan Beting Maro.
DUN lain ialah Engkilili, Saribas, Layar, Bukit Saban, Bukit Sari, Kuala Rajang, Semop, Daro, Repok, Dalat, Tellian, Katibas, Bukit Goram dan Bekenu.
“Sehubungan dengan itu, pengundian tidak akan dijalankan di 29 kawasan DUN berkenaan dan pengundi di kawasan tersebut tidak perlu hadir atau keluar mengundi pada hari mengundi,” menurut hantaran itu.
Orang ramai turut diingatkan supaya mendapatkan maklumat sahih berkaitan PRN Sarawak menerusi saluran komunikasi rasmi SPR.
SPR menetapkan 8 Dis sebagai hari pengundian awal manakala 12 Dis sebagai hari pengundian.
Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/. — BERNAMA



























