Armizan Mohd Ali
TAWAU (Bernama): Kerajaan Persekutuan diharap dapat memberikan pertimbangan khas agar komponen projek Sabah Southern Link MADANI (SSML) Fasa 1B dimulakan segera tanpa menunggu projek sama Fasa 1A siap.
Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali berkata pertimbangan segera peruntukan Fasa 1B adalah antara penyelesaian jangka panjang terhadap gangguan bekalan elektrik berskala besar di pantai timur Sabah.
“Insiden terkini gangguan bekalan elektrik di lapan daerah pantai timur Sabah adalah berpunca daripada faktor bencana alam, perkara ini perlu diberi perhatian serius, kerana insiden seumpama pernah terjadi September tahun lepas, lebih 150,000 akaun penduduk terkesan.
“Kejadian ini mengganggu urusan harian penduduk dan ekonomi, kita akui bencana alam fenomena di luar kawalan, tetapi strategi mengurus risiko serta kesan sesuatu bencana itu perlu menjadi keutamaan,” katanya kepada pemberita pada Program Sentuhan Kasih dan Jualan Rahmah MADANI di sini, hari ini.
Bernama dalam laporan eksklusif hari ini melaporkan kepentingan SSML dalam mengatasi isu kerentanan sistem grid Sabah bergantung kepada satu talian penghantaran, yang terputus akibat insiden menara T313 di Ranau tumbang pada Khamis lepas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata pembinaan SSML melengkapkan rangkaian grid bekalan elektrik di negeri berkenaan kerana pada ketika ini penghantaran bekalan elektrik daripada pantai barat ke timur hanya bergantung kepada satu laluan, iaitu East West Link.
“Jadi kita rayu sangat-sangat kepada Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan dan meluluskan segera peruntukan untuk pelaksanaan Fasa 1B Projek Sabah Southern MADANI Link. Dengan itu lengkaplah grid di Sabah ini East West Link dan juga Southern Link, yang menjadi penyelsaian kepada insiden besar gangguan kepada bekalan elektrik di kawasan pantai timur Sabah,” katanya.
Armizan berkata Sabah berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meluluskan pinjaman mudah kepada Sabah Electricity bernilai RM198 juta, membolehkan SSML Fasa 1A dilaksanakan dan disasarkan siap pada September 2028.
“Namun, Fasa 1A hanya melibatkan jarak 60 km dari Mengalong, Sipitang ke Upper Padas, Tenom tetapi permohonan peruntukan bagi Fasa 1B melibatkan anggaran RM1.4 bilion belum diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Fasa 1B adalah projek kritikal sebagai pelengkap kepada keseluruhan Projek Sabah Southern MADANI Link, yang melibatkan jarak kira-kira 270 km dari Upper Padas ke Tawau,” katanya.
Armizan berkata sejak 2021 lagi Kerajaan Negeri Sabah telah mengajukan tentang projek itu kepada Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor mencadangkan pelaksanaan projek ini yang jauh lebih kritikal sebagai ganti kepada Projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Multi-Product Pipeline (MPP) yang telah dibatalkan pada 2018 kerana isu berbangkit berkaitan status pelaksanaan dan pembayaran,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan berkata baru-baru ini Kerajaan Persekutuan mengumumkan pelaksanaan Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS) sebagai ganti kepada Projek TSGP serta MPP.
“Jadi kita harap Kerajaan Persekutuan sewajarnya memberikan pertimbangan supaya projek gantian bagi TSGP dan MPP juga memanfaatkan Sabah dengan pelaksanaan keseluruhan Fasa 1A dan Fasa 1B Projek Sabah Southern MADANI Link dengan memberikan kelulusan peruntukan pada kadar segera,” katanya. — BERNAMA




























