Azizah Mohd Dun
KOTA KINABALU: Pencapaian wanita Sabah dalam bidang pendidikan perlu diterjemahkan kepada penyertaan ekonomi, kemajuan kerjaya serta peluang lebih luas dalam kepimpinan dan pembuatan keputusan bagi memastikan golongan itu terus menjadi rakan strategik pembangunan negeri.
Sehubungan itu, Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah akan menganjurkan Forum Wanita Sabah Merentas Generasi 2026 pada 2 Disember ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Pengerusi IDS Sabah Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata forum bertemakan “Daripada Potensi kepada Impak: Wanita Sabah Memacu Masa Hadapan” itu bukan sekadar wadah perbincangan mengenai pembangunan wanita, sebaliknya platform untuk menterjemahkan dapatan kajian berasaskan bukti kepada tindakan yang boleh dilaksanakan dan diukur impaknya.
“Forum ini memberi ruang kepada pelbagai pihak untuk bersama-sama merangka langkah praktikal bagi memperkasa wanita Sabah merentas generasi,” katanya.
Forum itu bakal menghimpunkan wanita daripada pelbagai generasi, sektor dan latar belakang bagi mengenal pasti cabaran, merapatkan jurang pembangunan serta merangka langkah strategik memperkasa golongan wanita.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah Datuk Ts Dr Ramzah Dambul berkata wanita merupakan antara pemacu penting pembangunan sosioekonomi negeri menerusi sumbangan dalam bidang pendidikan, pekerjaan, keusahawanan, perkhidmatan awam, korporat, kepimpinan masyarakat dan pembangunan keluarga.
Katanya, Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) Sabah 2023 mencatat skor keseluruhan 0.715, mengatasi purata nasional iaitu 0.705.
Bagaimanapun, meskipun nisbah enrolmen pendidikan tertiari wanita berbanding lelaki mencatat 1.889, nisbah penyertaan tenaga buruh wanita hanya 0.673, manakala bagi kategori penggubal undang-undang, pegawai kanan dan pengurus, nisbahnya ialah 0.407.
“Dapatan ini menunjukkan pencapaian pendidikan wanita yang kukuh belum diterjemahkan sepenuhnya kepada penyertaan ekonomi, kemajuan kerjaya dan representasi dalam kedudukan kepimpinan serta pembuatan keputusan,” katanya.
Forum berkenaan merangkumi dua pengisian utama, iaitu Forum Perdana bertajuk “Wanita Sabah: Daripada Potensi kepada Impak” dan Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) bertemakan “From Evidence to Action: Memperkasa Wanita Sabah Merentas Generasi”.
Perbincangan kumpulan fokus itu memberi tumpuan kepada empat tonggak utama, iaitu wanita dalam tenaga kerja, keusahawanan, kepimpinan serta pementoran dan legasi menerusi konsep “Pengalaman Tidak Bersara”.
Bagi tonggak tenaga kerja, perbincangan akan memberi tumpuan kepada graduan wanita yang belum mendapat pekerjaan, wanita yang ingin kembali bekerja, padanan pekerjaan, peningkatan kemahiran, kemajuan kerjaya serta persekitaran pekerjaan mesra wanita.
Bagi keusahawanan, usaha akan menjurus kepada memperkukuh pembangunan usahawan wanita menerusi akses kepada modal, kemahiran perniagaan, pendigitalan, jaringan industri dan peluasan pasaran.
Tonggak kepimpinan pula memberi tumpuan kepada memperluas peluang wanita menerajui kepimpinan dan menduduki jawatan pengurusan tertinggi dalam sektor awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), korporat, politik, profesional dan komuniti.
Sementara itu, aspek pementoran dan legasi akan memanfaatkan ilmu, kepakaran serta pengalaman wanita pesara, pemimpin senior dan golongan profesional sebagai mentor, penasihat serta penghubung peluang kepada generasi muda.
Forum itu turut menyokong aspirasi Kajian Rangka Tindakan Wanita Sabah 2026–2035, khususnya dalam memperkukuh penyertaan ekonomi, pembangunan keusahawanan, kepimpinan wanita dan kerjasama strategik antara pihak berkepentingan.
Program berkenaan juga akan memperkenalkan Portal Wanita Women’s Leadership Initiative Committee (WLIC).
Ramzah turut menjemput agensi kerajaan, pemain industri, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan pemimpin komuniti untuk bersama-sama menjayakan forum berkenaan.
“Kami berharap forum ini dapat memperkukuh peranan wanita sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri Sabah,” katanya.
Orang ramai yang berminat mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi urus setia pendaftaran, Sarah J Marican atau Faezah Hassan menerusi e-mel sarah.marican@ids.org.my atau faezah.hassan@ids.org.my serta talian 088-450500 atau 016-8351280.



























