TIANJIN: Seorang wanita China berusia 27 tahun meninggal dunia selepas menjalani beberapa siri prosedur kosmetik untuk menghilangkan jeragat di sebuah hospital di Tianjin.
Menurut Utusan Malaysia, media tempatan melaporkan, wanita dikenali sebagai Liu, disahkan meninggal dunia pada 31 Oktober, sepuluh hari selepas menerima rawatan laser ke-10 di Hospital Dermatologi Jinmen.
Insiden yang berlaku pada 21 Oktober itu terjadi apabila seorang doktor menyapu krim anestetik pada kulitnya.
Tidak lama kemudian, Liu mula pening dan terus koma sebelum mengalami kejutan dan serangan jantung.
Liu dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi di Universiti Perubatan Tianjin untuk rawatan kecemasan, namun gagal diselamatkan.
Menurut akhbar Jinan Times, pihak universiti mengesahkan kematian Liu disebabkan oleh herniasi otak, iaitu keadaan apabila tekanan tinggi dalam tengkorak menyebabkan tisu otak terkeluar.
Seorang jururawat dari Hospital Dermatologi Jinmen memaklumkan beliau menghidap neurofibromatosis, iaitu keadaan genetik yang boleh menyebabkan tompok-tompok rata berwarna coklat pada kulit.
Beliau dilaporkan menerima rawatan di hospital swasta tersebut sejak 2020.
Keluarga mangsa telah menghantar mayatnya untuk bedah siasat, dan pihak berkuasa kesihatan kini sedang menyiasat insiden tersebut.
Sementara itu, Timbalan pengarah hospital berkenaan menyatakan rasa kesal atas kematian Liu dan memberi jaminan hospital akan bertanggungjawab sekiranya terbukti berlaku kecuaian.
Di China, jika profesional perubatan didapati bersalah menyebabkan kematian pesakit akibat kecuaian, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda.


































