WASHINGTON: Calon Republikan, Donald Trump menuntut pemenang pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) diumumkan selepas pusat pengundian ditutup, sebelum semua undi dikira sepenuhnya.
Menurut Utusan Malaysia, Trump pernah mempraktikkan langkah itu pada 2020, apabila beliau mengumumkan kemenangan sehari selepas pilihan raya, yang mendorong sekutunya mendesak pegawai agar menghentikan pengiraan undi.
Beliau dan konservatif lain berulang kali mendakwa wujud penipuan semasa pilihan raya 2020 yang menyebabkan kekalahannya berikutan tempoh lama dalam proses pengiraan undi di AS.
LINDUNGI INTEGRITI PENGIRAAN UNDI
Pakar Pilihan Raya menegaskan keutamaan dalam pengiraan undi bukan sekadar untuk menamatkan ketegangan selepas pengundian ditutup, tetapi memastikan proses dibuat dengan tepat dan selamat.
Pakar Undang-Undang di Universiti California, Prof. Rick Hasen berkata, kelewatan mengumumkan pemenang adalah untuk melindungi integriti proses pengiraan undi.
Beliau berkata, permintaan Trump juga dilihat tidak mengambil kira enam zon waktu dari Pantai Timur ke Hawai.
Dalam perhimpunan kempen di Pennsylvania Ahad lalu, Trump mendesak agar keputusan perlumbaan diumumkan sebaik beberapa pusat pengundian ditutup.
“Ia perlu diputuskan sebelum pukul 9, 10 atau 11 malam pada malam Selasa,” kata bekas Presiden AS itu.
Waktu adalah antara faktor mengapa tuntutan Trump tidak selari dengan realiti pengendalian pilihan raya di AS.
Menjelang pukul 11 malam waktu Timur, pusat pengundian baru sahaja ditutup di dua negeri penentu Barat, Arizona dan Nevada.
Trump mendorong konservatif mempertikai AS tidak melaksanakan pengiraan undi secepat Perancis dan Argentina, dengan keputusan diumumkan dalam beberapa jam selepas pengundian ditutup.
Hakikatnya, negara tersebut hanya mengira satu pilihan raya pada satu masa, dan sistem AS yang terdesentralisasi menghalang kerajaan Persekutuan daripada mengawal pilihan raya.
Undi dikira di hampir 10,000 kawasan berasingan, masing-masing mempunyai pilihan raya untuk badan perundangan negeri, majlis bandar, lembaga sekolah dan langkah undi yang perlu dikira serentak.
Itulah sebabnya proses pengiraan undi di AS mengambil masa lebih lama dan pengumuman rasmi pemenang memerlukan masa.
PERATURAN PILIHAN RAYA NEGERI
Selain itu, mengira setiap satu daripada berjuta-juta undi juga memerlukan masa kerana pegawai pilihan raya perlu memproses undi yang dipertikaikan atau ‘sementara’, dan memastikan undi tersebut dilaksanakan secara sah.
Undi daripada anggota tentera dan warganegara AS yang berada di luar negara mungkin tiba pada saat-saat akhir.
Undi pos biasanya sampai lebih awal, tetapi terdapat proses panjang untuk memastikan ia tidak dilakukan secara tidak sah.
Jika proses ini tidak dimulakan sebelum hari pilihan raya, ia boleh melambatkan pengiraan undi.
Sesetengah negeri seperti Arizona, terdapat pengundian pos yang ditolak kerana tandatangan tidak sepadan dan memerlukan tempoh sehingga lima hari untuk membuktikan ia sah dilaksanakan oleh pemilih berdaftar.
Bahkan, sebahagian daripada kelewatan juga disebabkan oleh peraturan pilihan raya khusus bagi negeri tertentu.
Seperti dua negeri penentu, Pennsylvania dan Wisconsin, pegawai pilihan raya sudah lama merayu kepada penggubal undang-undang Republikan untuk mengubah dasar yang menghalang mereka memproses undi pos sebelum hari pilihan raya.
Kesannya, undi pos terpaksa dikira lewat dan keputusan tidak boleh diumumkan sehingga selepas hari pilihan raya.


































