LIVERPOOL: Arne Slot menafikan spekulasi Mohamed Salah bakal meninggalkan Liverpool hujung musim ini selepas bintang Mesir itu memberi bayangan tentang masa depannya di laman sosialnya, semalam
Menurut Utusan Malaysia, pengendali The Reds dari Belanda itu berkata, Salah sebaliknya perlu mengikut jejak seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi yang bertahan dalam tempoh yang lama di peringkat elit.
Salah yang menjaringkan gol kemenangan ketika Liverpool bangkit menewaskan Brighton Ahad lalu menulis di media social “Tidak kira apa yang berlaku, saya tidak akan lupakan perasaan menjaringkan gol di Anfield.”
Sebahagian peminat The Reds memahami mesej berkenaan sebagai isyarat Salah akan meninggalkan Anfield selepas kontrak pemain 32 tahun itu berakhir pada hujung musim ini.
Untuk rekod, ini adalah kali kedua dia memperkatakan tentang masa depannya secara umum selepas sebelum ini mendakwa ini adalah ‘musim terakhirnya di kelab’.
“Anda membuat tafsiran sendiri. Saya tidak melihat mesej Instagram pemain-pemain saya, saya hanya bercakap terus dengan mereka, itu kelebihan yang saya ada.
“Salah dalam keadaan cukup baik ketika ini, selagi dia berada di Liverpool, dia di kedudukan yang baik. Saya harap dia akan muat naik lagi mesej esok dan sekali lagi pada Sabtu.
“Apa yang penting ialah bagaimana cara dia bermain dan apa yang diperkatakannya dalam perbualan, bukan bagaimana anda fahami mesejnya.
“Saya belum bercakap dengan Salah mengenainya (masa depan), Kontraknya akan berakhir musim ini. Perdebatan berkenaan masa depannya tidak akan berkesudahan sehingga semuanya jelas.
“Buat masa sekarang, kita harap dia meneruskan prestasi cemerlangnya. Berapa umur Ronaldo sekarang? Messi juga masih hebat. Tetapi ada pemain seperti saya yang sudah tidak bagus lagi pada usia 33.
“Bukan bermakna saya hebat pada usia 26 tahun, tetapi kemerosotan saya jauh lebih teruk berbanding Ronaldo dan Messi. Saya tidak tahu apa yang menantinya tetapi saya yakin Salah berada di tempat yang bagus sekarang,” kata Slot.


































