LONDON: Seorang pelajar Malaysia di Britain, Teo Jia Xin, 22, disabitkan bersalah atas tuduhan membunuh bayinya yang baru dilahirkan.
Menurut Utusan Malaysia, BBC melaporkan, Jia Xin mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut selepas mayat bayinya ditemui dalam kotak bijirin yang disembunyikan dalam sebuah beg pakaian.
Menurut pihak Pendakwaan Mahkota (CPS), Jia Xinmengandung hingga ke penghujung tempoh dan melahirkan bayi itu pada 4 Mac lalu.
Difahamkan, selepas melahirkan bayi tersebut, Jia Xin meletakkannya ke dalam kotak bijirin sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik dan disimpan di dalam beg pakaian.
Pihak pendakwaan menyatakan bayi tersebut masih hidup selepas dilahirkan dan Jia Xin sedar tindakan itu akan menyebabkan bayi tersebut meninggal dunia.
Polis West Midlands dipanggil ke kediaman wanita itu dua hari selepas beliau mendapatkan rawatan di hospital dengan tanda-tanda baru melahirkan anak.
Ketika ditanya oleh kakitangan hospital sama ada beliau telah melahirkan anak, Jia Xin menafikan perkara tersebut.
Namun, di bawah soal siasat polis, beliau akhirnya mengaku telah melahirkan bayi itu.
Pihak juri turut menolak pembelaan yang mendakwa dia mendengar suara yang menyuruhnya membuang bayi berkenaan.
Menurut James Leslie Francis dari CPS, Jia Xin tiba di Britain dengan pengetahuan beliau bakal melahirkan anak dan mempunyai peluang untuk mendapatkan bantuan, namun memilih untuk merahsiakan kehamilannya bagi mengelak diketahui oleh sesiapa.
































