Sebatang pokok cemara yang kelihatan sangat pelik kerana dahan dan daunnya yang hanya tinggal separuh kini menjadi tarikan pelancong popular dengan ulasan Google tersendiri di pinggir bandar Waterthorpe di Sheffield, England.
Menurut Utusan Malaysia, tiga tahun lalu, pokok cemara Waterhope menjadi tajuk utama berita antarabangsa buat kali pertama.
Terletak di pinggir rumah Bharat Mistry, mahkota malar hijaunya itu turut tumbuh dan berkembang hingga ke jalan masuk kediaman pasangan Irene dan Graham Lee.
Namun burung-burung yang bersarang di pokok cemara berusia 25 tahun itu amat menggangu pasangan Lee.
Pasangan itu merasa jengkel kerana sentiasa perlu membersihkan jalan masuk ke rumah daripada najis burung yang gugur dari pokok itu.
Pada mulanya, kedua-dua jiran itu cuba mencari penyelesaian secara baik, seperti memotong dahan atau memasang jerat untuk menghalang burung daripada bersarang di celah-celah daunnya.
Tetapi kerana tiada kata sepakat dicapai, pasangan Lee mengambil keputusan sendiri mengupah orang untuk memotong pokok itu tetapi mengerat hanya sebahagian dahannya yang memasuki hartanah mereka.
Foto pokok yang kelihatan ganjil itu dengan pantas tular di media sosial hingga menjadi tarikan pelancong tempatan.
Kini, sudah tiga tahun pokok yang dipotong separuh itu menarik perhatian orang ramai untuk singgah bergambar, berswafoto dan menyiarkan ulasan mereka di Google.
Tidak jelas sama ada dahan itu tidak pernah tumbuh semula atau jika pasangan Lee terus memotongnya dengan kerap.
Tetapi apa yang pasti, pokok cemara itu mengekalkan rupa yang luar biasa hingga ke hari ini.
Menurut laporan berita baru-baru ini, kedua-dua jiran itu masih tidak bertegur sapa dan Mistry mendakwa dia masih bingung mengapa jirannya memilih untuk berbuat demikian kepada pokok cemara berusia 25 tahun itu.
“Kami merayu kepada mereka untuk tidak melakukannya, tetapi mereka enggan mengubah fikiran.
“Saya percaya mereka mempunyai hak untuk memotong apa-apa yang tergantung pada hartanah mereka. Tetapi kami tertanya, mengapa selepas 25 tahun baru mereka merasa terganggu dan tergamak berbuat demikian?” kata Mistry.


































