Kren tumbang ke tepi bangunan di pusat bandar St. Petersburg akibat Taufan Milton yang melanda Florida, semalam.
FLORIDA: Taufan Milton membadai Lautan Atlantik pada Khamis, menyebabkan kerosakan besar di seluruh Florida dan mencetuskan lebih 12 serangan puting beliung.
Menurut Utusan Malaysia, taufan itu turut meragut sekurang-kurangnya 10 nyawa dan memusnahkan banyak rumah, tetapi tidak mencetuskan gelombang ribut yang dianggap bencana.
Gabenor Ron DenSantis berkata, negeri itu mengelakkan senario terburuk walaupun memberi amaran kerosakan yang masih ketara.
Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (AS), Alejandro Mayorkas pada taklimat White House berkata, terdapat 10 kematian dilaporkan setakat ini, yang kelihatan berpunca daripada puting beliung.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya 27 puting beliung melanda Florida.
Di St. Lucie County di pantai timur Florida, beberapa puting beliung menyebabkan lima kematian, termasuk sekurang-kurangnya dua di kawasan komuniti warga emas Spanish Lakes, kata jurucakap daerah, Erick Gill.
Menurut PowerOutage.us, lebih tiga juta rumah dan premis perniagaan di Florida terputus bekalan elektrik pada pagi Khamis.
Sekurang-kurangnya sebahagian daripada mereka menunggu selama beberapa hari untuk bekalan elektrik dipulihkan selepas Taufan Helene melanda kawasan itu, dua minggu lalu.
Di kawasan Tampa, ribut itu menumbangkan pokok, menjejaskan jalan raya dan merobohkan tiang elektrik, seperti ditunjukkan dalam rakaman video daripada berita tempatan.
Datuk Bandar Tampa, Jane Castor berkata, beberapa kawasan kejiranan dilanda banjir, tetapi tahap kerosakan masih belum diketahui sehingga pihak berkuasa menilai kemusnahan tersebut.
































