Lee Zii Jia tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan wakil Jepun, Yushi Tanaka 21-11, 21-18 pada Terbuka Artic.
PETALING JAYA: Empat wakil negara diketuai jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia mara ke suku akhir selepas membenam lawan masing-masing pada peringkat 16 terbaik Kejohanan Badminton Terbuka Artic di Vantaa, Finland, hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, selaku juara bertahan, Zii Jia yang menghuni ranking No. 4 dunia tidak menghadapi sebarang masalah untuk mengetepikan wakil Jepun, Yushi Tanaka 21-11, 21-18 dalam masa 42 minit.
Pada suku akhir, esok, anak jati Kedah itu akan berdepan seorang lagi pemain Jepun, Koki Watanabe yang menyingkirkan pemain China, Lu Guang Zhu 21-11, 21-13.
Turut mengiringi Zii Jia ke suku akhir ialah juara Terbuka China, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang meneruskan rentak konsisten mereka apabila mengetepikan Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura juga dari Jepun 21-16, 21-16 dalam saingan beregu lelaki.
Untuk laluan ke separuh akhir, Sze Fei-Izzuddin yang kini melonjak ke ranking No. 8 dunia akan menentang sama ada beregu handalan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi ataupun pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh.
Sementara itu, dalam aksi beregu campuran, Malaysia memiliki dua wakil mara ke suku akhir selepas Hoo Pang Ron-Chen Su Yin dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai menewaskan lawan masing-masing.
Gandingan yang sedang meningkat naik, Pang Ron-Su Yin mengejutkan pilihan keenam, Yang Po Shuan-Hu Ling Fang dari Taiwan 21-19, 21-12, manakala, pasangan suami isteri, Soon Huat-Shevon menumpaskan beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran 22-20, 21-16.
Kedua-dua beregu itu akan bertembung sesama sendiri bagi merebut tempat ke separuh akhir.
Malaysia masih memiliki tiga lagi wakil iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Pearly Tan-M. Thinaah yang masih belum turun ke gelanggang ketika laporan berita ini ditulis.
































