Hajiji (tengah) bersama Rubin, pemimpin parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bergambar bersama para perwakilan dan ahli-ahli Gagasan Rakyat Bahagian Kemabong.
TENOM: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor memberi jaminan akan memastikan sebahagian tanah dalam kawasan Sabah Forest Industry (SFI) di daerah ini dikeluarkan dan diwartakan sebagai tanah perkampungan.
Katanya, beberapa ribu hektar tanah dalam kawasan konsesi perhutanan syarikat berkenaan sudah dikenal pasti untuk dikeluarkan supaya penduduk dapat terus mendudukinya secara sah.
Pada masa yang sama, katanya beliau juga akan mengarahkan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) untuk melaksanakan program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) di daerah ini.
Beliau berkata, ia bagi menyelesaikan tanah yang sudah lama diduduki dan diusahakan penduduk kampung dapat disukat dan dikeluarkan geran kepada pemiliknya.

Hajiji (tengah) menerima dokumen tuntutan tanah hak asasi masyarakat Daerah Kecil Kemabong daripada wakil pemimpin setempat pada majlis perasmian Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Kemabong Tahun 2024.
“Saya nyatakan bahawa kita akan memastikan beberapa ribu ekar tanah dalam SFI dikeluarkan untuk perkampungan rakyat kita di Tenom.
“Begitu juga tanah yang belum disukat, saya akan minta Pengarah JTU untuk
menggunakan program PANTAS bagi mengukur tanah penduduk supaya tanah yang sudah lama diusahakan diberi geran,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kemabong di Dewan Sri Ontoros, Kemabong, dekat sini hari ini.
Hajiji memberikan maklum balas terhadap beberapa usul yang dikemukakan Ketua
Bahagian Gagasan Rakyat Kemabong, Datuk Rubin Balang berkaitan dengan kepentingan rakyat kawasan itu.
Bercakap pada sidang media selepas itu, Hajiji berkata beliau akan memanggil syarikat berkenaan bagi membincangkan usul untuk mengeluarkan sebahagian daripada tanah SFI itu.


































