JAKARTA: Ibu Kota Nusantara (IKN) berada dalam kedudukan yang jauh daripada ancaman gempa bumi kerana kedudukannya tidak berada dekat dengan megathrust atau gempa bumi antara plat tektonik.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Balai Geofizik Balikpapan, Rasmid memberi jaminan kedudukan IKN agak selamat daripada gempa bumi, sama ada berskala kecil, sederhana atau besar, yang lazimnya dikenali sebagai megathrust.
“Bagi kawasan IKN, ia agak selamat. Ancaman megathrust tidak berada dekat.
“Ia jauh di utara Pulau Sulawesi, manakala IKN terletak di tengah-tengah Kalimantan dan ia tidak akan terjejas,” katanya.
Beliau berkata, megathrust lebih cenderung memberi kesan kepada pantai timur Pulau Kalimantan seperti Tarakan, Berau dan Bontang.
“Sekalipun terdapat dua sesar yang mengapit IKN, kesannya kecil kerana ia bukan terbentuk daripada aktiviti batuan tektonik, tetapi aktiviti cecair atau hidrokarbon yang tidak diterokai (dilombong).
“Panjang kedua-dua sesar ini tidak begitu ketara. Lebih-lebih lagi, IKN dibina mengikut piawaian sederhana, jadi tiada masalah langsung,” katanya kepada Kompas.com.
Bencana gempa bumi di Pulau Kalimantan direkodkan meningkat lima kali ganda tahun ini, dengan 153 kejadian direkodkan sepanjang tempoh Januari hingga Ogos lalu.
Sepanjang tempoh itu, tiga hingga empat gempa bumi sebulan yang dirasakan oleh masyarakat, khususnya di Kabupaten Mahakam Ulu dan Kabupaten Berau.
Peningkatan peristiwa gempa bumi yang direkodkan di Pulau Kalimantan mencetuskan persoalan, sama ada Ibu Kota Nusantara (IKN) di Kalimantan Timur benar-benar selamat.
Rasmid menjelaskan, lonjakan gempa bumi di Pulau Kalimantan menunjukkan tempoh pelepasan tenaga.
“Dalam tempoh lima hingga 10 tahun sekarang, inilah tempoh pelepasan tenaga. Maka, gempa bumi berlaku berulang kali apabila plat bergerak, yang akan memberi tekanan kepada batu.
“Jadi batuan yang mempunyai keanjalan berbeza akan terlepas apabila berlaku tekanan, dan terjadilah gempa bumi,” katanya.