Kim Jong-un melawat kawasan yang dilanda banjir di wilayah Pyongan Utara, dalam gambar dikeluarkan KCNA, pada 31 Julai lepas.
PYONGYANG: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengarahkan sehingga 30 pegawai dihukum mati kerana didakwa gagal menangani banjir dan tanah runtuh pada musim panas, yang menyebabkan kematian kira-kira 4,000 orang.
Menurut Utusan Malaysia, TV Chosun melaporkan, seorang pegawai Korea Utara mendedahkan, Kim menuntut hukuman tegas dikenakan terhadap pegawai yang bertanggungjawab dalam kehilangan nyawa akibat banjir, baru-baru ini.
Media Korea Selatan itu melaporkan, 20 hingga 30 pegawai terbabit didakwa atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa yang menyebabkan mereka dihukum mati bulan lalu.
“20 hingga 30 pegawai di kawasan yang dilanda banjir ditetapkan hukuman mati serentak pada penghujung bulan lalu,” kata pegawai yang tidak didedahkan identitinya.
Walaupun identiti pegawai yang dihukum mati belum didedahkan, Agensi Berita Pusat Korea Utara (KCNA) melaporkan, Kang Bong-hoon, berkhidmat sebagai Setiausaha Jawatankuasa Parti Wilayah Chagang sejak 2019.
adalah antara salah seorang pemimpin yang terlibat.
Beliau juga adalah antara pegawai yang dipecat oleh Kim dalam mesyuarat tergempar semasa bencana banjir.
Julai lalu, hujan lebat menyebabkan tanah runtuh dan banjir meluas di seluruh Korea Utara sehingga menjejaskan 4,000 rumah serta 15,000 penduduk.
Kim, ketika melawat kawasan terjejas mengakui akan mengambil masa beberapa bulan untuk membina semula kawasan kejiranan yang musnah akibat banjir.


































