BEIJING: Sebuah bas sekolah terbabas dan merempuh sekumpulan mangsa di luar pekarangan sebuah sekolah menengah di timur China sehingga mengakibatkan 11 ibu bapa dan pelajar terkorban, Selasa.
Menurut Utusan Malaysia, CCTV melaporkan, pemandu bas tersebut hilang kawalan ketika menghampiri sekolah di bandar Tai’an, wilayah Shandong pada pukul 7.27 pagi, sebelum melanggar sekumpulan ibu bapa dan kanak-kanak yang berada di tepi jalan.
“Sehingga kini, (kejadian) telah menyebabkan kematian 11 orang, dengan enam adalah ibu bapa dan lima lagi pelajar,” lapor CCTV dalam kemas kini selepas pukul 11.30 pagi.
Seorang mangsa lain dilaporkan kritikal, manakala yang lain berada dalam keadaan stabil.
Foto dan video yang beredar di media sosial menunjukkan beberapa individu terbaring atas jalan dalam keadaan berlumuran darah berhampiran bas besar berwarna kelabu dengan beberapa orang dewasa dilihat berlutut bersebelahan mayat kanak-kanak, sementara kedengaran jeritan di lokasi berkenaan.
“Mereka semua telah meninggal dunia, sangat menyedihkan,” kedengaran suara seorang wanita di luar kamera dalam satu klip rakaman selepas kejadian tersebut.
“Saya juga mungkin terbunuh jika saya berada di sana, tetapi nasib baik saya cepat melarikan diri,” tambahnya.
Tambah CCTV, Pemandu bas berkenaan telah ditahan oleh pihak polis tempatan dan punca kejadian sedang disiasat.
Kemalangan jalan raya kerap berlaku di negara ini disebabkan oleh piawaian keselamatan yang longgar dan pemanduan yang tidak berdisiplin.
Julai lalu, pihak polis melaporkan sebuah kenderaan merempuh pejalan kaki di bandar Changsha, tengah China, menyebabkan lapan orang terbunuh dan lima lagi cedera.


































