Tan meletakkan setengah kilogram tanaman ganja di tempat duduk belakang kereta, dengan harapan bekas isterinya dikenakan hukuman mati.
SINGAPURA: Seorang lelaki di Singapura dihukum penjara hampir empat tahun kerana cuba memerangkap bekas isterinya dengan pokok ganja.
Menurut Utusan Malaysia, Tan Xianglong, 37, dilaporkan cuba menjebak bekas isterinya dengan meletakkan lebih setengah kilogram tanaman ganja di antara tempat duduk belakang kereta, dengan harapan ia cukup untuk wanita itu dikenakan hukuman mati.
Singapura mempunyai undang-undang dadah yang sangat ketat, untuk mencegah jenayah berkaitan bahan terlarang itu.
Bagaimanapun, bahan yang ditanam Tan sebenarnya tidak sampai separuh adalah ganja, manakala selebihnya sekadar bahan pengisi.
Menurut dokumen mahkamah, Tan berniat untuk menakut-nakutkan mangsa dan juga mahu bekas isterinya berdepan tindakan undang-undang.
“Dia faham bahawa pihak yang terlibat akan ditangkap dan didakwa dengan jenayah serius jika rancangannya berjaya,” katanya.
Dia dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun 10 bulan semalam kerana memiliki ganja, selain mahkamah mempertimbangkan tuduhan kedua iaitu menanam bukti secara haram.
Pada 16 Oktober, dia membeli sebatang ganja daripada kumpulan sembang Telegram dan menimbangnya untuk memastikan ia melebihi 500 gram sebelum meletakkannya di dalam kereta bekas isteri.
Bagaimanapun, Tan tidak menyedari kereta bekas isterinya itu dilengkapi kamera yang menghantar pemberitahuan ke telefon mangsa.
Mangsa melaporkan kepada polis atas tuduhan gangguan, dan siasatan pihak berkuasa menemukan dadah selepas menggeledah kereta tersebut.
Bekas isteri Tan ditangkap sejurus penemuan itu, namun selepas tidak menemui sebarang bukti terhadapnya, polis kemudian mengalihkan siasatan kepada Tan.
Tan dan isterinya berkahwin pada 2021, sebelum berpisah setahun kemudian.
Mereka tidak dapat memfailkan penceraian kerana Singapura hanya membenarkan pasangan yang berkahwin sekurang-kurangnya tiga tahun untuk bercerai.
Tan percaya dia mungkin diberikan pengecualian kepada peraturan itu jika isterinya mempunyai rekod jenayah.


































