Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di sebuah hotel di Bucheon, Korea Selatan, semalam.
SEOUL: Tujuh orang maut dan 12 yang lain cedera dalam kebakaran di sebuah hotel di Korea Selatan, kata pihak berkuasa hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri Korea Selatan dalam kenyataan berkata, kebakaran berlaku pada malam Khamis di bilik tingkat lapan sebuah hotel di Bucheon, sekitar 25 kilometer di barat Seoul.
Setakat ini, punca kebakaran masih belum jelas dan dilaporkan tiga daripada mangsa cedera parah.
Hotel sembilan tingkat itu mempunyai 64 bilik dan 27 tetamu disahkan menginap di premis berkenaan ketika kebakaran berlaku, lapor agensi berita Yonhap.
Walaupun api tidak merebak secara meluas di dalam bangunan, asap yang dihasilkan dipercayai menjadi punca kepada korban.
Pada Jun lalu, 23 orang maut dalam kebakaran besar di kilang bateri litium Korea Selatan, antara insiden terburuk di negara itu dalam beberapa tahun.


































