PETALING JAYA: Penyakit cacar monyet atau Mpox berisiko berlaku di negara ini kerana terdapat kes-kes yang merebak tanpa melibatkan pendedahan atau hubungan intim.
Menurut Utusan Malaysia, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, virus ini boleh tersebar bukan sahaja melalui hubungan intim namun melalui sentuhan langsung dengan kulit atau membran mukus individu yang dijangkiti.
Katanya, virus ini boleh disebarkan melalui objek yang tercemar dengan cecair badan seperti darah, air liur, atau nanah dari lepuh yang dijangkiti.
“Sebagai contoh, perkongsian barang-barang peribadi seperti tuala, pakaian, atau peralatan makanan boleh menjadi punca penularan.
“Lebih membimbangkan, jangkitan boleh berlaku melalui penularan dari ibu hamil kepada anak dalam kandungan, yang dikenali sebagai penularan vertikal. Ini boleh membawa risiko komplikasi serius kepada bayi yang belum lahir,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan Malaysia bebas jangkitan Mpox tetapi giat berhubung rapat dengan negara-negara ASEAN bagi mendapatkan informasi terkini jangkitan penyakit di negara-negara berkenaan.
Mengulas lanjut, Sharifa Ezat berkata, sukar untuk mengenal pasti individu yang berisiko tinggi kerana cara penularan virus ini agak sensitif, terutama melalui sentuhan langsung yang sering terjadi dalam konteks hubungan seksual.
“Bagi mengenal pasti mereka secara tepat adalah mencabar, kecuali jika mereka menunjukkan simptom dan tanda yang jelas. Dalam situasi sedemikian, individu yang disyaki perlu dikuarantin dan dipantau perkembangannya di wad isolasi khas.
“Walau bagaimanapun, simptom awal seperti demam atau keletihan boleh menyerupai penyakit lain, menjadikan proses pengesanan lebih sukar,” jelasnya.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, langkah terbaik untuk mencegah penularan Mpox adalah mengenal pasti dari mana pelawat-pelawat berasal, terutama dari negara berisiko tinggi mempunyai kes Mpox.
“Bagi individu yang berisiko tinggi untuk dijangkiti, mereka perlu diberikan pendidikan kesihatan yang mencukupi dan dinasihatkan untuk melakukan penilaian kendiri jika menunjukkan simptom jangkitan Mpox,” katanya.
Tambah Zainal Ariffin, rawatan yang boleh diberi termasuk rawatan antiviral dan rawatan simptomatik bergantung kepada simptom yang dialami oleh pesakit.
“Rawatan ini termasuk pemberian cecair badan untuk hidrasi, ubat antiviral dan antibiotik jika perlu. Vaksin dua dos juga diberikan di beberapa negara kepada mereka yang berisiko tinggi dan telah terdedah kepada virus.
“Vaksin ini boleh diberikan dalam tempoh 14 hari selepas pendedahan dan 85 peratus berkesan terhadap Mpox. Mereka yang mempunyai simptom juga perlu diisolasi untuk mencegah penularan,” jelasnya.


































