Keir Starmer dan Rachel Reeves menghadapi cabaran pengangguran di UK.
LONDON: Lebih sejuta rakyat Britain yang malas bekerja menjadi punca peningkatan 9.4 juta pengangguran rakyat negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, Daily Mail melaporkan, sebanyak 9.4 juta penduduk Britain menganggur antara April dan Jun lalu iaitu meningkat sebanyak 350,000 berbanding tahun lepas dan satu juta sejak awal pandemik Covid-19.
Kadar pengangguran itu adalah yang tertingi dalam tempoh 10 tahun.
Antara golongan yang menganggur adalah 2.8 juta orang dalam cuti sakit jangka panjang; 2.6 juta pelajar, 1.7 juta suri rumah; 228,000 orang yang cuti sakit sementara; 1.1 juta yang bersara sebelum umur 65 tahun dan 27,000 pekerja yang kecewa dan enggan mencari pekerjaan kerana kekurangan peluang.
Selain itu, sebanyak sejuta yang lain memberikan pelbagai alasan untuk tidak bekerja termasuk menunggu keputusan permohonan kerja, tidak perlu atau malas bekerja.
Sejak pandemik Covid-19, sebanyak 1.5 juta jawatan kosong diwujudkan dengan 488,000 diisi oleh pekerja India, 279,000 oleh pekerja Nigeria, dan 257,000 oleh warganegara United Kingdom.
Jumlah 9.4 juta atau 20 peratus daripada populasi kerja di Britain menganggur, satu keadaan yang membimbangkan Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri, Keir Starmer.
Situasi itu juga merupakan masalah besar bagi Setiausaha Kewangan, Rachel Reeves, kerana majikan menghadapi kesukaran untuk mencari kakitangan yang menghalang pertumbuhan ekonomi.
Reeves sebelum ini berjanji untuk mengambil tindakan dalam Belanjawan musim luruhnya dengan menyatakan, penduduk Britain perlu bekerja sekiranya masih sihat.
Namun, pembangkang Parti Konservatif berpendapat, dasar hak pekerja yang dicadangkan oleh Parti Buruh akan menyukarkan dan menambah kos kepada syarikat-syarikat yang mahu menggaji pekerja.
Reeves berkata, berdasarkan angka terbaharu itu, kerajaan perlu melakukan lebih banyak inisiatif untuk menarik minat penduduk Britain supaya bekerja.


































