BRUSSELS: Sembilan negara Kesatuan Eropah (EU) memfailkan aduan terhadap platform media sosial X, selepas syarikat milik Elon Musk itu didakwa melatih kecerdasan buatan (AI) dengan data peribadi tanpa kebenaran pengguna.
Menurut Utusan Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berpangkalan di Vienna, None of Your Business (NOYB), yang mengkaji bidang keselamatan data, memfailkan aduan mengenai program xAI di Austria, Belgium, Perancis, Greece, Ireland, Itali, Belanda, Sepanyol dan Poland kerana melanggar Peraturan Perlindungan Data Am EU (GDPR).
NOYB berkata, X mula menggunakan data peribadi lebih daripada 60 juta pengguna di Eropah secara haram untuk membangunkan teknologi kecerdasan buatan seperti Grok, chatbot AI generatif yang dibangunkan oleh xAI, tanpa persetujuan dan pemberitahuan awal.
Menyedari Suruhanjaya Perlindungan Data (DPC) Ireland memulakan prosiding undang-undang terhadap X minggu lepas untuk menghentikan pemprosesan data yang tidak sah, NOYB berkata, ia mengemukakan aduan rasmi terhadap platform itu di sembilan negara.
Ini kerana, tindakan Ireland tidak mencukupi dalam melaksanakan sepenuhnya GDPR.
Suruhanjaya itu meminta perintah untuk menggantung atau mengehadkan X daripada memproses data pengguna untuk tujuan membangunkan, melatih atau memperbaiki sistem AI mereka.
X bersetuju untuk tidak melatih sistem AI mereka buat masa ini menggunakan data peribadi yang dikumpulkan daripada pengguna EU sebelum mereka mempunyai pilihan untuk menarik balik persetujuan itu.
Pada Jun lalu, syarikat induk Facebook, Meta, mengumumkan tidak akan melancarkan pembantu AInya di Eropah selepas DPC Ireland memberitahu supaya menangguhkan rancangan tersebut.
Kedua-dua X dan xAI dimiliki oleh usahawan perniagaan AS, Elon Musk.


































