Pelancong melawat kuil Angkor Wat di wilayah Siem Reap, pada 16 November 2023.
PHNOM PENH: Kemboja kini membenarkan pelancong asing mengambil gambar praperkahwinan dengan pakaian sendiri secara percuma di Taman Arkeologi Angkor.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Hun Manet berkata, langkah itu bertujuan untuk mempromosikan dan menarik pelancong antarabangsa ke tapak warisan dunia yang disenaraikan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di wilayah Siem Reap.
Beliau berkata, pelancong asing dan tempatan bebas mengambil gambar dengan latar belakang Angkor untuk penggambaran praperkahwinan, saluran YouTube, Facebook dan TikTok, platform media sosial lain untuk tujuan promosi.
“Kini, mereka tidak perlu meminta kebenaran (daripada Pihak Berkuasa Kebangsaan APSARA) untuk mengambil gambar praperkahwinan dengan pakaian tradisional mereka di Angkor.
“Bagaimanapun, pelancong mesti mematuhi kod etika Angkor. Jangan memakai pakaian terlalu terdedah, jangan mengambil gambar pornografi, jangan melanggar nilai budaya kami dan mengambil gambar tidak sesuai,” katanya.
Manet berkata, media nasional dan antarabangsa juga dibenarkan mengambil gambar di tapak purba itu secara percuma, tetapi mesti meminta kebenaran terlebih dahulu daripada Pihak Berkuasa Kebangsaan APSARA, dengan memaklumkan tujuan sesi penggambaran.
Katanya, sebarang sesi penggambaran untuk tujuan komersial, filem dan fotografi dron masih memerlukan kebenaran dan membayar yuran tertentu kepada Pihak Berkuasa Kebangsaan APSARA.
Taman Arkeologi Angkor seluas 401 kilometer persegi adalah rumah kepada 91 kuil purba, yang dibina dari abad kesembilan hingga abad ke-13.
Tapak warisan ini menjana hampir AS$27.2 juta (RM122 juta) dalam hasil daripada jualan tiket antara Januari dan Julai tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 33.8 peratus.