Bangunan Empire State, Bangunan Chrysler dan One Vanderbilt kelihatan antara bangunan lain di tengah bandar Manhattan, di New York City.
DOHA: Laporan Kekayaan Global UBS 2024 (PDF) merekodkan dunia mempunyai seramai 58 juta jutawan, yang menyumbang 1.5 peratus daripada populasi dewasa global.
Menurut Utusan Malaysia, laporan itu mengambil sampel 56 pasaran yang menyumbang 92 peratus daripada kekayaan global.
AS mempunyai bilangan jutawan tertinggi, kira-kira 21.95 juta individu memiliki kekayaan dalam tujuh angka atau lebih.
China berada jauh di tempat kedua, dengan kira-kira 6.01 juta jutawan, diikuti oleh United Kingdom (3.06 juta), Perancis (2.87 juta) dan Jepun (2.83 juta).
UBS mentakrifkan kekayaan sebagai nilai aset kewangan dan aset sebenar ditolak dengan hutang yang dipegang oleh isi rumah.
Kekayaan global, dari segi dolar, meningkat sebanyak 4.2 peratus pada 2023 selepas penurunan tiga peratus pada 2022, menurut UBS.
Pakar Ekonomi di UBS, Samuel Adams berkata, menjelang 2028, UK dijangka kehilangan paling ramai jutawan, iaitu hampir satu daripada enam jutawannya akan kehilangan status tersebut.
Ia diikuti Belanda yang turut dijangka kehilangan empat peratus jutawannya menjelang tahun sama.
Menurut laporan itu, hampir separuh daripada kekayaan dunia, 47.5 peratus atau AS$213 trilion (RM991 trilion), dipegang oleh hanya 1.5 peratus daripada populasi dewasa global.
Rekod ini adalah isi rumah yang memiliki lebih AS$1 juta (RM4.6 juta).
Sebaliknya, mereka yang mempunyai kekayaan kurang AS$10,000 (RM46,557) memegang hanya 0.5 peratus (AS$2.4 trilion) kekayaan global, tetapi membentuk 39.5 peratus daripada orang dewasa dunia.
Isi rumah dengan kekayaan antara AS$10,000 (RM46,557) dan AS$100,000 (RM465,517), mewakili 42.7 peratus orang dewasa, menyumbang 12.6 peratus daripada kekayaan global atau AS$56.2 trilion (RM261.5 trilion).
Dari segi kekayaan per kapita, populasi dunia mencapai kemajuan yang ketara sejak era milenium.
Peratusan orang dewasa yang kekayaannya melebihi AS$1 juta (RM4.6 juta) meningkat tiga kali ganda daripada 0.5 peratus kepada 1.5 peratus.
Sejak tahun 2000, Qatar mencatat peningkatan terbesar dalam bilangan jutawan, meningkat daripada 46 kepada 26,163.
Sementara, China menyaksikan peningkatan kedua terbesar, daripada 39,000 kepada 6,013,282 jutawan, diikuti oleh Kazakhstan (918 kepada 44,307).
UBS berkata, sepanjang 15 tahun menerbitkan laporannya, rantau Asia Pasifik mencatatkan pertumbuhan kekayaan terbesar, meningkat hampir 177 peratus, diikuti oleh AS pada hampir 146 peratus, manakala Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA) naik hanya 44 peratus.
AS menjadi tuan rumah kepada 38 peratus jutawan dunia, manakala Eropah Barat (28 peratus) dan China (10 peratus).
Mengikut negara, dari segi peratusan, Switzerland mempunyai jumlah jutawan tertinggi, dengan 12 dalam setiap 100 orang orang memiliki kekayaan lebih AS$1 juta (RM4.6 juta).
Ini diikuti oleh Hong Kong, dengan lapan dalam setiap 100 orang adalah jutawan, Australia dan Belanda masing-masing tujuh dalam setiap 100 orang serta AS (enam dalam 100).


































