Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan tidak akan bertolak ansur apatah lagi menggadaikan walau satu inci pun tanah hak milik negara ini di Sabah.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, beliau tidak sekali-kali melayan sebarang tuntutan Filipina terhadap negeri itu dan tidak mungkin akan terlibat dalam apa-apa rundingan melibatkan hak dan kedaulatan negara.
“Kerajaan tidak akan bertolak ansur (walaupun) satu inci tanah rakyat kita dan tidak mungkin terlibat dalam apa-apa rundingan melibatkan hak dan kedaulatan negara,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Bulan Keselamatan Negara 2024 di sini hari ini.
Anwar bagaimanapun memberitahu, walaupun berdepan dengan tuntutan seumpama itu, hubungan diplomatik Malaysia dengan Filipina sangat baik.
Malah, katanya, hubungan peribadi beliau dengan Presiden Ferdinand Marcos Jr di tahap sangat rapat dan akrab.
“Jalur ini harus dimanfaatkan untuk keselamatan. Pasukan kita harus mengerti sejarah telah membuktikan bahawa serangan seperti yang berlaku di Sabah beberapa tahun lalu berlaku dalam keadaan tidak diduga,” katanya.
Pada 5 Julai lalu, Malaysia menyerahkan nota diplomatik kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres bagi menyatakan bantahan sekali gus menolak tuntutan Filipina ke atas Sabah.
Dalam nota diplomatik itu, kerajaan Malaysia berkata ia ‘secara jelas’ menolak pemfailan itu atas alasan pemanjangan sempadan pelantar benua yang dikemukakan Filipina dilakukan berdasarkan garis dasar Sabah.
Tindakan itu, katanya, jelas mengabaikan kedaulatan Malaysia yang tidak dapat dipertikaikan lagi ke atas Sabah.
SABAH SEBAHAGIAN MALAYSIA
Semalam, Kementerian Luar menegaskan pendirian bahawa Sabah sentiasa merupakan sebahagian penting daripada Malaysia, malah tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf mana-mana tuntutan ke atas Sabah.
Ini kerana, katanya, Sabah telah diiktiraf oleh PBB dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.
Rakyat Sabah telah melaksanakan hak penentuan nasib sendiri (self-determination) berhubung pembentukan Malaysia menerusi Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962.
Kerajaan Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan Sabah sebagai sebahagian penting daripada Malaysia dan memastikan agar kedaulatan, keutuhan wilayah dan kepentingan negara sentiasa dilindungi pada setiap masa, tegas Wisma Putra.
Kenyataan itu susulan penularan satu video di media sosial yang mengandungi kandungan tidak berasas dan mengelirukan dengan mempertikaikan kedaulatan negeri Sabah sebagai sebahagian penting daripada Malaysia.
Dalam hal ini, kementerian ini sedang menjalankan siasatan secara mendalam dengan kerjasama kementerian serta agensi berkenaan berhubung perkara ini.


































