Abdul Rahman Mohamad
KUALA LUMPUR: Sebanyak 996 majikan membuka akaun menerusi Sistem Gaji Progresif dan daripada jumlah tersebut, 416 majikan iaitu 42 peratus mengemukakan permohonan untuk menyertai Projek Rintis Dasar Gaji Progresif (DGP).
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, catatan angka itu adalah setakat 29 Julai lalu bertujuan menilai ketersediaan dasar dan sistem dibangunkan serta menentukan sebarang penambahbaikan diperlukan.
“Sebanyak RM50 juta telah disediakan bagi pelaksanaan projek rintis DGP termasuk bagi pembayaran insentif kepada 1,000 majikan bagi tempoh setahun. Pembayaran insentif dijangka bermula Oktober 2024 apabila pihak majikan mengemukakan tuntutan selepas memenuhi syarat ditetapkan.
“Pemberian insentif ini dijangka memberi manfaat kepada 20,000 pekerja tempatan yang bergaji antara RM1,500 hingga RM4,999,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Terdahulu, Senator Datuk Husain Awang meminta kementerian menjelaskan status terkini projek rintis DGP melibatkan 1,000 buah syarikat.
Dalam masa sama, Abdul Rahman berkata, berdasarkan garis masa pelaksanaan projek, jawatankuasa kerja masih dalam peringkat penilaian projek dan akan dimuktamadkan pada September 2024 di mana ia akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Sumber Manusia dan Menteri Ekonomi.
Malah, katanya, masih banyak syarikat boleh mengambil peluang untuk membuka akaun memandangkan peratusan yang berdaftar masih tidak sampai 50 peratus.
“Setakat ini yang tertinggi mendaftar adalah sektor perdagangan borong dan runcit; pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal iaitu sebanyak 113 syarikat bersamaan 27 peratus, diikuti aktiviti profesional saintifik dan teknikal sebanyak 22 peratus.
“Jadi, sehingga 29 Julai lalu, baru sampai 42 peratus, banyak lagi peluang syarikat boleh daftarkan menerusi DGP ini,” ujarnya


































