Pekerja kesihatan melakukan ujian pengesanan Covid-19 menggunakan sampel air liur atau calitan hidung dan tekak di hospital kerajaan di Hyderabad, India.
NEW DELHI: Jumlah sebenar kes kematian semasa fasa pertama pandemik Covid-19 di India mungkin lapan kali lebih tinggi daripada angka rasmi kerajaan, menurut kajian.
Menurut Utusan Malaysia, negara itu dilaporkan teruk terjejas akibat varian delta pada 2021, apabila hospital kehabisan katil dan bekalan oksigen sehingga terdapat pesakit yang meninggal dunia di luar kemudahan kesihatan.
Bagaimanapun, penyelidikan baharu menunjukkan gelombang pertama, walaupun tidak seteruk pada tahun 2021, menyebabkan kemusnahan yang jauh lebih besar daripada yang disahkan sehingga kini.
Kajian bersama yang ditulis 10 pakar demografi dan ahli ekonomi institut antarabangsa terkemuka mendapati, India mengalami 1.19 juta kematian pada 2020, semasa gelombang pertama pandemik, berbanding tahun 2019.
Angka ini adalah lapan kali ganda daripada jumlah kematian rasmi Covid-19 di India untuk tahun tersebut, iaitu 148,738 kes.
Kajian ini diterbitkan pada Jumaat dalam penerbitan Science Advances, lapor Al Jazeera.
Angka dalam kajian ini, berdasarkan Kajian Kesihatan Keluarga Nasional (NFHS) 2019-2021, menunjukkan jumlah kematian akibat Covid-19 di India pada tahun 2020 adalah 1.5 kali ganda lebih tinggi daripada anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Jumlah kematian akibat wabak itu sehingga akhir 2021, adalah 481,000.
Kajian baharu ini juga menunjukkan terdapat ketidaksamaan besar antara mangsa pandemik, berdasarkan jantina, kasta dan agama.
Pada tahun 2020, kajian mendapati jangka hayat warga India daripada kasta tinggi Hindu menurun sebanyak 1.3 tahun.
Sebaliknya, purata jangka hayat bagi rakyat ‘kasta terjadual’, komuniti yang menghadapi diskriminasi teruk selama berabad, menurun sebanyak 2.7 tahun.
Orang Islam di India mengalami kemerosotan paling teruk, dengan jangka hayat mereka menurun sebanyak 5.4 tahun pada 2020, dedah kajian.
Kajian berkata, komuniti ini mempunyai jangka hayat yang lebih rendah semasa lahir berbanding penganut Hindu kasta tinggi, walaupun sebelum wabak.
“Pandemik memburukkan lagi keadaan ini. Penurunan itu setanding atau lebih besar dalam magnitud mutlak dialami oleh Orang Asli Amerika, Kulit Hitam dan Hispanik di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2020,” katanya.


































